Skip to main
Logo Malaysiakini

Perbanyakkan lagi filem tokoh kemerdekaan, kata ulama PAS

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dewan Ulama PAS menyarankan agar penerbitan filem-filem yang mengangkat tokoh pejuang kemerdekaan diperbanyakkan lagi susulan sambutan hangat filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Ketuanya Ahmad Yahya berkata, filem arahan Syamsul Yusof itu merupakan satu tanda aras karya sebegini masih mendapat tempat di hati masyarakat masa kini.

"Karya filem mempunyai pengaruh dan tarikan yang kuat serta mampu mencorakkan tingkah laku dan emosi masyarakat. Karya filem amat berguna dalam menyampaikan mesej-mesej tertentu kepada orang ramai.

"Dengan mengangkat tokoh pahlawan kemerdekaan ini di layar perak secara tidak langsung menyemai semangat jati diri dalam masyarakat pada hari ini. Malah, tarikan kekuatan ilmu agama yang diadun bersama semangat mempertahankan negara adalah elemen penting yang ditonjolkan melalui tokoh-tokoh berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu filem berkenaan dilihat menjadi fenomena dan merekod jualan tiket lebih RM18 juta selepas beberapa hari ditayangkan di pawagam.

Sementara itu Ahmad berkata, pihaknya mengharapkan agar filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan ini menjadi katalis kepada perkembangan karya-karya filem yang memaparkan tema pejuang kemerdekaan negara pada era moden ini.

Antara lain katanya watak tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dato' Maharaja Lela Pandak Lam dan sebagainya.

"Tambahan lagi, peranan Mat Kilau bersama dengan para ulama seangkatan seharusnya dijadikan landasan positif bahawa perjuangan membebaskan umat adalah cetusan para ulama sehingga semangat menentang penjajah menjadi teras utama sebelum disambut kelompok lain.

"Dewan Ulama PAS yakin bahawa karya filem mengangkat tokoh perjuangan dan sejarah kebangsaan ini dapat memberikan mesej yang baik kepada masyarakat dan ia wajar mendapat sokongan semua pihak," jelasnya.

Tambahnya, sudah sampai masanya negara dan rakyat mengangkat golongan pejuang ini sesuai dengan semangat menjelang sambutan Hari Kemerdekaan kelak.