Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Di tengah kehangatan Mat Kilau, di mana Finas?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerana Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, berbondong-bondonglah orang ramai tanpa mengira status dan usia menonton filem epik itu. Sepanjang tujuh hari pertama tayangannya filem menelan belanja RM8 juta itu mencatat kutipan RM23 juta.

Pada hari pertama tayangannya saja kutipan sebanyak RM1 juta dikumpul.

Sukar menidakkan hakikat bahawa laporan media banyak berperanan 'menyihir' orang ramai untuk menonton filem itu. Sejak hari pertama ditayangkan pada 23 Jun lalu, kutipan filem itu sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.

Misalnya pada hari ketiga tayangan ia mengumpul RM3juta, hari keempat RM 11 jut), diikuti hari-hari berikutnya dan berita itu dipanaskan dengan perkongsian netizen di media sosial.

Membaca pelbagai laporan mengenai kemas kini kutipan itu, tidak jelas pihak manakah yang mengeluarkan kenyataan data tersebut.

Sumber kenyataan yang sepatutnya boleh dipercayai semestinya daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Malangnya selepas 11 hari ditayangkan, tidak nampak ada kenyataan dibuat Finas mengenai filem arahan Syamsul Yusof itu.

Apakah Finas tiada pegawai perhubungan awam untuk memberikan informasi sahih kepada media berkaitan kutipan sebenar kutipan filem itu?

Elok beri reaksi segera

'Kehilangan' Finas itu samalah dengan senyapnya mereka daripada menguar-uarkan penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) yang dijangka diadakan di Melaka pada tahun ini.

Maka tertanya-tanyalah orang mengenai nasib FFM tersebut, sama ada akan diteruskan atau tidak.

Pengkritik filem, Akmal Abdullah, melahirkan rasa peliknya terhadap Finas, seolah-olah mereka tidak peduli langsung fenomena filem Mat Kilau sekarang apabila tiada kenyataan muncul selepas lebih seminggu ia ditayangkan.  

“Kita tidak dengar atau ada membaca apa-apa kenyataan atau pujian daripada pengerusi baru Finas, mahupun ulasan daripada ketua pegawai eksekutif (CEO) mereka.

"Apakah Finas anggap sambutan terhadap filem sejarah seperti Mat Kilau itu sebagai perkara biasa saja?" katanya.

Tambah Akmal, elok kalau pengurusan tertinggi Finas segera memberi reaksi mengenai apa yang berlaku sekarang.

Akmal Abdullah

Katanya penggiat seni filem tentu mahu mendengar apa penilaian Finas serta respon mereka terhadap sebuah filem sejarah yang mencetuskan fenomena, lebih-lebih lagi membabitkan sejarah perjuangan bangsa.

“Tidak tahukah Finas bahawa filem Mat Kilau mengubah persepsi ramai yang sebelum ini memandang serong filem tempatan?

"Atau Finas mungkin malu filem bercorak sejarah pernah dihasilkan Finas sebelum ini tidak mendapat sambutan?” katanya.

Cucu Mat Kilau ada

Finas - yang kini diterajui ahli akademik Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai CEO - sebenarnya boleh menganjurkan majlis untuk membincangkan filem Mat Kilau dengan mengajak pemikir, karyawan filem dan pengkritik.

Melaluinya bolehlah hal-hal seperti pencapaian, kejayaan mahupun aspek kekurangan atau kelemahan dalam filem itu diteliti.

Barangkali ramai tidak tahu tokoh budayawan Pahang, Aripin Said, sempat berjumpa dengan Mat Kilau yang dipanggilnya ‘Aki’ beberapa kali di Paya Besar.

Begitu juga seorang tokoh akademik - yang enggan mendedahkan identitinya  - merupakan cucu Mat Kilau dan ada menyimpan gaharu, kemenyan, bolai dan kain cindai milik pejuang berkenaan.

Satu tamparan buat Finas sekiranya ada pihak lain - khususnya media - mengambil inisiatif menganjurkan forum, diskusi atau bual bicara mengenai filem Mat Kilau.

Mereka boleh memanggil Syamsul, Aripin mahupun tokoh akademik itu.

Sedangkan Finas mempunyai pelbagai platform untuk berbuat demikian. Misalnya slot Fragmen yang beberapa hari lalu mengetengahkan episod Muzik Satu Legasi bersama Habsah Hassan.

Finas sewajarnya cekap menganjurkan program membina momentum mengumpul sokongan masyarakat dengan menggunakan kesempatan suasana hangat sekarang.

Secara tidak langsung, ia akan menggalakkan kegiatan intelektualisme bersangkutan dengan fenomena Mat Kilau ketika ini.

Akmal berkata Finas sepatutnya bangkit dengan program impromptu seperti menganjurkan kempen mengajak generasi muda/pelajar menghayati filem sejarah dengan memberikan subsidi tiket wayang, bekerjasama dengan Arkib Negara menganjurkan Pameran Perjuangan Mat Kilau, atau membeli iklan dalam media massa untuk merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan Mat Kilau.

“Paling tidak pun Finas boleh bekerjasama dengan penerbit filem berkenaan untuk mengadakan pameran Di Sebalik Tabir Produksi Mat Kilau di tempat awam bagi menarik masyarakat lebih dekat dengan filem tempatan,” katanya.

Ada yang tak balik modal

Pada sisi lain kata Akmal, filem Mat Kilau ternyata berjaya memecah tembok salah faham selama ini yang menyangka kononnya filem sejarah tidak mampu menjadi produk filem yang berstatus komersial.

Kata bekas pengarang berita hiburan itu lagi sudah terang lagi bersuluh bahawa filem sejarah mengenai tokoh dan peristiwa berkaitan perjuangan bangsa Melayu pada penghujung abad ke-19 boleh meraih sokongan padu masyarakat.

"Ia mencipfa fenomena yang tidak disangka-sangka kerana kita tidak pernah terbayang ada sebuah filem sejarah negara yang boleh mengumpul kutipan lebih RM20 juta dalam tempoh seminggu!

“Manakan tidak, kita melihat fakta sebelum ini betapa semua filem sejarah tempatan - terutama yang dihasilkan pada era 2000 dan sesudahnya - gagal mendapat sambutan.  

"Ada yang tidak laku, ada filem yang langsung tidak mencapai kutipan RM1 juta malah kalau ada pun tidak mampu mencapai kutipan balik modal.

“Ia termasuklah filem yang dibiayai Finas sepenuhnya seperti Paloh, Embun dan Tanda Putera," katanya.

Menurut Akmal lagi filem dengan latarkan cerita sejarah lain yang direkodkan tidak laku ialah Hanyut, Leftenan Adnan, Malay Regiment, Pulang, 1957: Hati Malaya, 29 Februari, Kanang Anak Langkau dan Kapsul.

Hikayat Merong Mahawangsa mencatatkan prestasi agak baik dengan kutipan RM6 juta tetapi harus diingat, filem itu dihasilkan dengan kos RM8 juta.

Kata Akmal dengan momentum yang ada, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu mampu mencecah kutipan antara RM45 juta hingga RM50 juta dalam tempoh tiga minggu tayangan.

Ramai jadi peminat filem

Sementara itu tokoh akademik yang juga ketua juri pelbagai anugerah perfileman, Prof Dr Naim Ahmad menyifatkan Finas sudah nazak kerana ketandusan ahli pemikir.

“Ramai kalangan teman saya sudah lama membicarakan filem-filem jenis patriotisme ini amat penting buat generasi baru tetapi Finas tidak peka, malah mungkin pekak,” katanya.

Melihat pada sambutan filem itu, kata Naim, tidak mustahil penerbit lain akan berlumba-lumba menerbitkan filem sejarah sebagaimana suatu ketika dulu apabiola ramai produser menerbitkan filem seram.

Kesimpulannya Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan memang membuat banyak pihak -termasuk pemimpin politik, NGO dan individu berpengaruh - berminat kepada filem.

Malah ada pemimpin yang disinonimkan dengan Islam juga menggalakkan sokongan berterusan diberi kepada filem itu yang disifatkannya sebuah cereka ini yang mampu mengangkat syiar Islam.

Kata Akmal, situasi ini jelas membuktikan bahawa filem sejarah mampu menjadi sebuah produk ketika pelbagai pihak dalam industri - termasuk Finas - percaya bahawa filem sejarah "tidak boleh jual".

“Mungkinkah Finas menganggap kejayaan Mat Kilau ini sama saja seperti kejayaan filem komersial lain yang pernah meraih kutipan box-office seperti Munafik, Polis Evo, Hantu Kak Limah atau Upin & Ipin The Movie?

“Atau mungkin Finas tidak berasa terkesan dengan kehangatan industri filem ketika ini yang mencetuskan fenomena dalam kalangan masyarakat?” katanya.


ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima Bhd.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.