Skip to main
Logo Malaysiakini

Kesihatan Ooi Eow Jin kian merosot lepas dijangkiti Covid-19

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kesihatan pengarah muzik veteran, Ooi Eow Jin, yang menghidap Alzheimer sejak 2015 semakin merosot sejak dia dan keluarganya dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), DJ Dave, berkata dia dimaklumkan mengenai status kesihatan tokoh terbabit selepas dihubungi isteri Ooi, Khawn Lean Kee.

“Pada 29 Jun lalu, saya terima panggilan telefon daripada Khawn menyatakan mereka sekeluarga dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat Covid-19.

“Ooi dan anak mereka, Raymond, khabarnya masih dirawat. Kami berhasrat melawat, namun disebabkan prosedur operasi standard (SOP), kami tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Khawn meluahkan rasa sedih melihat keadaan suami dan anak, biarpun dia sendiri tidak sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DJ Dave berkata, kebimbangan Khawn semakin bertambah kerana dia tidak boleh bersama anaknya yang tidak mampu menguruskan diri sendiri.

“Khawn risau Raymod tidak makan. Dia tahu anaknya lapar tapi tidak mampu menyuap dirinya sendiri sebaliknya hanya mengharapkan bantuan jururawat,” jelasnya.

Bagi meringankan beban ditanggung keluarga itu, DJ Dave berkata, YKAT menghulurkan bantuan wang berjumlah RM1,000 untuk kegunaan mereka.

Katanya sumbangan diserahkan kepada Khawn baru-baru ini.

"Dia beritahu mereka dalam keadaan sangat terdesak daripada segi kewangan dan kesihatan,” katanya.

Penderitaan Ooi mula mendapat perhatian kira-kira tiga tahun lalu apabila mereka sekeluarga dikatakan terpaksa mengharapkan belas ihsan pihak gereja selepas pengarah muzik itu jatuh sakit.

Kerjaya Ooi dalam arena muzik bermula dengan menganggotai Orkestra RTM sejak 1963 hingga 1983 sebelum berhijrah ke TV3 setahun kemudian.

Oii kemudian bekerja sebagai pegawai kebudayaan sebuah universiti pada 1989 serta menjadi tenaga pengajar di Universiti Putra Malaysia serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Kali terakhir Ooi bekerja adalah sebagai pemain piano solo di sebuah hotel di ibu negara pada Jun 2015.

Komposer itu banyak mencipta lagu untuk penyanyi tempatan dan luar negara termasuk Allahyarham Sudirman, Rafeah Buang, M Nasir, Rahimah Rahim, Flora Santos, Alleycats, Jennifer Yen dan Francis Yip.