Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Gerakan Islam tanpa pawagam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Antara yang menjadi kritikan dan pertikaian terhadap karya terbaru Syamsul Yusof, Mat Kilau, bila watak perempuan dalam filem pahlawan itu memakai inner, walaupun telah menyarung kain pelekat di kepalanya. Penonton yang kritis bertanya, adakah pada era Mat Kilau itu, perempuan sudah memakai inner

Elli Suriaty yang muncul pada babak-babak mula di filem itu, luar dari wayang itu sendiri pun bukanlah pemakai tudung yang konsisten. Jadi kenapa di dalam filem ini wataknya perlu memakai inner?

Nyatalah ini adalah idea dari Syamsul Yusof sendiri, yang semenjak cenderung kepada arah Islam, dari filem-filem gangster, rempit dan bohsia, kemudian bila kembali kepada Islam, filemnya mulai diarahkan sedemikian. 

Bermula dari Munafik, Munafik 2 dan sehinggalah ke Mat Kilau. Begitulah yang kita semua boleh tebak rentak dan coraknya berdasarkan perwatakan filem terbarunya itu. Filem ini nampaknya begitu nyaring sekali mesej dakwahnya. 

Syamsul Yusof dalam bab ini ternyata memilih khilaf yang lebih sederhana. Kebiasaan dalam seni dan Islam, terdapat pertembungan yang cukup seru. Seni, budaya dan agama, sepertinya ada pertembungan. Antaranya seperti bolehkah perempuan berlakon? Suara wanita itu aurat, juga rambut perempuan itu juga aurat. Begitulah kita diberitahu dalam aliran Islam arus perdana, pandangan-pandangan fikah mereka. 

Syamsul dalam bab ini memilih hanya rambut sebagai aurat, maka dikenakan inner pada pelakon perempuannya. Tetapi untuk suara perempuan dan perempuan dibenarkan berlakon meski pada sesetengah babak, nampak jua susuk perempuan dan bahagian-bahagian perempuan yang lain, dia tidak mengendahkan. Ada pandangan Wahabi yang lebih keras iaitu muka perempuan juga harus ditutup kerana boleh mendatangkan fitnah. 

Syukur isteri Mat Kilau dan isteri Wahid dalam filem tersebut tidak ditutup semua mukanya. Apa yang dituliskan di sini bukanlah direka-reka. Kita boleh lihat sendiri seputar kematian arwah Adibah Noor, yang dipertengkarkan tentang tudung yang tidak dipakainya. Nampak Syamsul Yusof masih berada dalam pengaruh ini.

Pandangan gerakan Islam tentang kesenian sangat terbatas. Jika ditinjau secara saksama, yang hanya muncul dan leluasa ialah seni ukir dan kaligrafi, sementara yang lainnya mati. Muzik dalam Islam, seperti anak haram yang tidak diakui nasabnya dalam Islam. Apabila gerakan Islam politik mengambil alih sesuatu kawasan, baik melalui pilihan raya mahupun tidak melalui pilihan raya, pandangan-pandangan dalam kitab yang ‘antikeseniaan’ dan kebudayaan dijadikan sebagai “manifesto suci”. 

Dari Aceh sampai ke Afghanistan, dari Pakistan sampai ke Saudi, sampai ke Malaysia atau lebih tepat, Kelantan, pandangan mereka tentang kesenian, nyata menjengkelkan dan juga melucukan. Ada pandangan mengatakan bunyi itik lebih baik dari muzik yang dihasilkan manusia.

Jika kita telusuri dalam seni melukis sekalipun, kita akan dapati betapa larangan dan ancaman sangat keras buat mereka yang menjadi pelukis. Dikatakan pelukis diminta menghidupkan apa yang mereka lukiskan di akhirat kelak. Syukur kepada Allah SWT kerana PAS dan Salafi tidak memerintah Malaysia secara total. Jika tidak, Boboiboy, Upin Ipin, Didi n Friends, Mechamato (sudah sampai ke Jepun) dan banyak lagi karya animasi tempatan tentu tidak akan dibenarkan. 

Syukur sekali lagi kepada Allah, kerana pembikin-pembikin animasi ini, meskipun mereka Melayu-Islam, mereka tidak mengikuti pandangan ini. Kerana itu animasi di Malaysia berkembang lebih cepat dan maju berbanding negara-negara Arab dan negara-negara Islam yang lain. Upin Ipin keluaran Malaysia itu juga bahkan lebih dikenali di Indonesia berbanding Perdana Menteri Ismail Sabri sendiri.

Hipokrasi

Adalah suatu hipokrasi bila mana pemimpin-pemimpin PAS dari Kelantan seperti Fadhli Saari terpaksa datang ke Kuala Lumpur untuk menonton wayang, tetapi di negeri mereka sendiri, pawagam tidak dibenarkan sama sekali. Jika ini bukan hipokrasi, apakah maksudnya hipokrasi? 

Dan ini bukan masalah PAS semata-mata. Abim , Hizbut Tahrir, Tabligh, Isma, Pembina, Ikram bahkan Amanah sekalipun. Hatta jika naik mana-mana gerakan Islam yang lebih baik dan berkesan dari PAS pun, mereka akan ternganga, bagaimana mahu mewujudkan pawagam di Malaysia? 

Mereka akan berdepan dengan masalah kerencaman dan kemajmukan masyarakat moden di Malaysia, yang lebih rencam dari masyarakat Madinah, 2,000 tahun lalu. Adakah mereka bersedia untuk dikecam baik oleh pengundi totok mereka, atau dikecam oleh pembenci mereka? Kerana itu PAS hanya mampu bertahan di negeri-negeri Melayu sahaja, Kelantan, Terengganu dan Kedah. 

Itu pun dalam hal pawagam, Terengganu dan Kedah tidak mengikuti jejak langkah Kelantan meskipun sama-sama ditadbir oleh parti Islam yang sama. Adakah ini juga khilaf? Adakah Kelantan yang berdiri begitu banyak pondok, ditadbir oleh parti Islam puluhan tahun lamanya, pernah diperintah oleh Nik Aziz Nik Mat, juga pernah dikenali sebagai Serambi Mekah, tidak dapat menahan gejolak nafsu penduduknya dari bermaksiat di pawagam, berbanding negeri-negeri Kedah dan Terengganu, yang sudah beberapa kali bertukar parti politik yang memerintah? 

Filem Syamsul Yusof yang begitu tepu dengan semangat Melayu-Islam pastinya menarik ramai golongan politik Melayu Islam seperti Mahathir Mohamad (Pejuang), Idris Ahmad (PAS), Fadhli Shaari (PAS), Ahmad Maslan (Umno) untuk hadir dan mengaut political mileage, kerana filem ini juga memberi sedikit sebanyak saham kepada ideologi politik masing-masing. Tetapi cukupkah hanya sebuah filem ini sahaja untuk ditayangkan di Kelantan, jika hendak dibuat pawagam di Kelantan? 

Pemikiran kesenian harusnya melampaui ideologi politik jika mahu berkembang jauh. Jika terbatas dalam ideologi Islam (Islamis) maka hasilnya pasti sempit. Jika mahu mendirikan pawagam, maka pastinya perlu banyak cerita. Tidak cukup hanya satu cerita sahaja. 

Tetapi pemikiran kesenian yang begitu membataskan pergerakan hanyalah akan membosankan dan membonsaikan fikiran. Perempuan boleh berlakon atau tidak, suara perempuan masih aurat atau tidak, rambut perempuan aurat atau tidak, ini antara hal-hal yang menjadi dilema semenjak sekian lama untuk Melayu Islam yang mahu bergiat aktif dalam kegiatan seni. Akhirnya pelakon-pelakon ini hanya bergiat menjadi duta produk berbanding bergiat dalam kesenian dan kebudayaan.

Selagi hal ini tidak dibereskan, Melayu-Islam hanya boleh melakonkan watak-watak streotaip yang sangat terbatas. Sedangkan kayu ukur yang lebih baik boleh disediakan. 

Hiburan lagha

Boleh jadi juga kerana pandangan semenjak sekian lama terhadap kesenian dan kebudayaan ini adalah sesuatu yang lagha atau sia-sia menyebabkan hal kesenian dan kebudayaan jarang sekali mendapat tempat dalam kegiatan politikal Islam. Sedangkan kesenian dan kebudayaan yang selalunya masuk dalam kategori hiburan itu antara yang menyumbang sekian banyak kepada ekonomi negara, rakyat dan masyarakat. 

Roda ekonomi tidak boleh berputar dengan hanya agama. Kerana itu bila golongan Islamis mengambil alih tampuk pemerintahan, mereka menjadi seperti kera mendapat bunga. 

Mereka jadi terkebil-kebil dengan realiti dunia yang berbeza sama sekali dengan kitab-kitab atau teks usrah yang mereka pelajari selama ini. Ternyata Islam yang dikatakan sebagai suatu konsep yang syumul atau komprehensif digugat dengan sendirinya oleh bidang yang mereka lekehkan atau tidak pandang langsung selama ini iaitu kesenian dan kebudayaan alias hiburan.

Seharusnya gerakan Islam lebih berkecimpung dengan soal-soal lebih besar bukannya menumpukan pada tetek-bengek bagaimana orang mahu berlakon, berbudaya dan berseni. Ini antara jalan selamatnya, iaitu tidak masuk campur terus hal-hal begini. Pawagam ini sesuatu yang baru, pastilah ia tiada pada zaman dahulu. Jika nak dikira bermaksiat, dalam kereta dan hotel pun orang akan bermaksiat. Bahkan menggunakan telefon pun orang boleh bermaksiat. Adakah PAS selepas ini akan mengharamkan kereta, hotel dan telefon? 

Dikatakan filem Mat Kilau ini tidak mempunyai OST-nya. Tetapi katalah ada sekalipun, bagaimana pula pandangan Islam terhadap muzik bertali? 


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.