Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak Rimau harap dapat kongsi sokongan patriotisme dari Mat Kilau

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kejayaan filem seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan diharap dapat menggalakkan orang ramai terus menyaksikan naskhah berunsur patriotik seperti Anak Rimau The Movie.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ti Lian Ker, berkata perbezaan yang memisahkan Anak Rimau The Movie dengan kisah pahlawan Pahang itu hanyalah latarnya yang melibatkan sukan bola sepak.

Menurut Ti dengan adanya sokongan daripada pencinta filem tempatan, ia dapat membantu mengembangkan industri sukan negara kepada suatu tahap yang lebih membanggakan.

“Saya baca kutipan filem Mat Kilau kini mencecah RM53 juta dalam 13 hari tayangan. Ia dianggap sebagai filem paling berjaya ketika ini di negara kita.

“Ini menunjukkan bahawa belia sekarang berkobar-kobar dengan semangat patriotisme kerana filem tersebut. Justeru, saya berharap dengan adanya sokongan terhadap Anak Rimau The Movie pendapatan itu mampu menyumbang kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

“Dengan adanya sokongan itu bolehlah MSN menyusun, membangun, mentadbir, malah mengatur dan mengembangkan industri sukan negara.

“Apabila tengok belia bertungkus lumus berlatih berkorban masa dan sebagainya untuk bawa kemegahan pada negara dan bendera Malaysia, saya kasihan kerana selepas bersara, kehidupan mereka tidak terjaga kecuali mereka yang berjaya,” katanya.

Tambah Li, bukan setakat itu, filem yang memberi inspirasi terhadap sukan bola sepak itu juga diharap dapat meningkatkan jati diri dalam kalangan anak muda negara ini.

Selain itu menurut Ti, ia diharap dapat mengalakkan orang ramai meminati sukan itu malah memberi tumpuan terhadap kesihatan diri sendiri.

“Sukan bola sepak memainkan peranan besar dalam memupuk semangat bersukan dan kekeluargaan di samping membentuk jati diri dalam kalangan anak muda negara ini.

“Ia juga diharap dapat menggalakkan kesihatan lebih baik pada orang ramai dan mengurangkan tanggungan perbelanjaan perubatan yang sangat tinggi di negara ini,” ujarnya.

Ti berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Anak Rimau The Movie di Petaling Jaya hari ini.

Katanya, pembikinan Anak Rimau The Movie akan memberi kenangan indah dan inspirasi untuk anak muda mengejar cita-cita mereka dalam sukan bola sepak.

“Kita sedia maklum sukan bola sepak adalah sukan popular di seluruh dunia, jadi ia bakal jadi pengalaman bermakna memandang Malaysia ramai pencinta sukan ini.

“Di samping pembukaan liga-liga dan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar yang bakal berlangsung pada 2022, ini bakal membakar pencinta bola sepak dalam kalangan penggemar sukan ini,” katanya.

Selain MSN, Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films turut mendapat usahasama daripada Kementerian Belia dan Sukan, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari dan Al Ikhsan Sports Malaysia.

Filem arahan Areel Abu Bakar itu dijadual menjengah pawagam di seluruh tanah air pada 1 September depan.

Antara pelakon yang menjayakan Anak Rimau The Movie ialah Beto Khusyairy, Idan Aedan, Kechikimi, Azhan Rani, Adam Corrie, Taiyuddin Bakar, Megat Shahrizal dan Mustaqim Bahadon.

Pada majlis sama, turut dilancarkan lagu tema rasmi dan video muzik Anak Rimau The Movie yang dicipta Bajai dan Amylea Azizan, dan dinyanyikan Idan Aedan, Kechikimi, Hanz Skelchy, Omar Dannyal, Joel Law dan Hakeem Sufian.