Skip to main
Logo Malaysiakini

Ashraf Muslim nasihat artis elak selak 'cerita dalam kelambu'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ashraf Muslim menitipkan pesanan buat rakan artis agar tidak berkongsi kisah kelambu dalam rumah tangga mereka secara terbuka di media sosial kerana ia pasti mendatangkan aib pada diri sendiri.

Kata pelakon itu, perkongsian sedemikian hanya akan bertambah buruk apabila orang luar mengeruhkan lagi situasi yang mereka hadapi dengan memberi pelbagai reaksi termasuk kecaman.

“Kepada pasangan suami isteri, jika ada masalah dalam keluarga, simpan untuk diri sendiri saja.

“Kita terlupa dah buka aib sendiri bila asyik berkongsi di media sosial. Kebahagiaan atau kesusahan, apa-apa sajalah, jangan dijaja pada orang lain.

“Kadang-kadang ada pihak tak tahu pokok pangkal, tapi mereka terus nak kecam,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana nama pasangan secara khusus.

Aktor itu yang terkenal mengamalkan poligami dengan beristeri dua memberitahu, dirinya sendiri pernah melakukan kesilapan sama.

“Pernah berlaku pada diri sendiri sebelum ni,” katanya.

Ashraf berkata demikian ketika ditemui pada pratonton filem terbaru lakonannya berjudul Musyrik - Api Neraka Menantimu! di Petaling Jaya kelmarin.

Pelakon Bukan Cinta Malaikat itu pada masa sama berpesan agar masyarakat berhati-hati apabila meninggalkan komen atas alasan kononnya bagi menyuarakan sokongan.

Katanya, berbanding mengecam, seboleh-bolehnya, doakanlah yang baik-baik untuk kedua-dua belah pihak.

“Doakanlah pasangan itu perkara yang baik. Nasihat pada mereka jangan bergaduh-gaduh. Kerana jika tidak, apa kita cakap, mungkin akan berbalik pada diri sendiri.

“Sekalipun nak menegur, suarakan dengan kata-kata positif, bantu neutralkan keadaan mereka,” katanya.

Bukan kisah hantu klise

Sementara itu, mengulas lakonanya dalam Musyrik - Api Neraka Menantimu!, Ashraf berkata, dia menerima tawaran untuk menjayakan filem tersebut kerana jalan penceritaan naskhah berkenaan dekat dengan realiti masyarakat.

Katanya, ia banyak mendidik penonton untuk menjauhi amalan syirik selain mengamalkan ayat-ayat al-Quran sebagai panduan hidup.

“Bukan semata-mata nak memaparkan kisah hantu klise. Tapi filem ni bawa mesej supaya masyarakat tidak melakukan syirik dengan menyekutukan Allah.

“Banyakkan membaca al-Quran, lakukan solat dan amalkan surah-surah pendek sebagai pendinding diri,” katanya.