Skip to main
Logo Malaysiakini

Lawak tak jadi, wanita itu perlu ‘bantuan’ - Harith

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Harith Iskander berpendapat persembahan seorang wanita yang mempersendakan Islam di sebuah kelab komedi di Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur semalam langsung tidak mempunyai standard sebagai pelawak.

Katanya, tindakan wanita itu dengan menanggalkan pakaian dan tudungnya yang menutup aurat ketika membuat persembahan sebagai sangat tidak patut.

“Benar, ketawa penawar duka. Bagaimanapun, saya tengok apa wanita ni buat sangat menyakitkan dan tak lawak langsung apa dipersembahkan,” katanya di media sosial malam tadi.

Tambahnya, sesebuah persembahan dicipta untuk membuat orang ketawa, justeru, pelawak sepatutnya bercerita dengan cara tersendiri untuk membuat penonton tergelak.

“Kandungan atau topik persembahan boleh menyuntik situasi semasa dan pelbagai sudut berbeza.

“Penonton gelak sebab pelawak menghasilkan komedi yang boleh membuatkan mereka terkejut. Tugasan ini perlu ada kebijaksanaan dalam menampilkan lawak jenaka yang bijak,” katanya.

Terdahulu, menjelang perayaan Aidil Adha seorang wanita berbaju kurung dan bertudung memperkenalkan diri sebagai seorang wanita Muslim. Dakwaanya, dia sudah menghafaz 15 juzuk al-Quran.

Sejurus itu, wanita berkenaan kemudian membuka tudung dan baju kurung yang dipakainya dalam video berdurasi 53 saat itu.

Dia hanya meninggalkan pakaian mencolok mata yang mendedah sebahagian dada serta memakai skirt pendek menampakkan sebahagian paha.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menjalankan siasatan berhubung video yang tular yang dianggap menghina Islam.

Menurut Harith, tindakan wanita itu sekali gus mencemarkan kredibiliti komediri yang lain.

“Dia boleh saja ke restoran dan mendakwa dirinya sebagai chef. Kemudiannya, memuat naik video masakannya sambil memuji dirinya pandai memasak.

“Mungkin sebab tindakannya itu, orang boleh cakap dia chef tak bagus dan disenarai hitam. Tak semua chef bodoh,” katanya.

Pernah dinobatkan sebagai Manusia Paling Lucu Di Dunia menerusi pertandingan The Funniest Person In The World (TFPW) di Levi, Finland pada 2016, Harith berkata, dia menyuarakan pandanganmya itu atas paksi dirinya berada dalam komuniti komedi tanah air.

Harith juga mengulas persoalan kenapa kelab komedi berkenaan membiarkan wanita itu membuat persembahan.

Katanya. ia adalah ruang terbuka malam komedi (open mic comedy night) justeru ia memberi peluang kepada sesiapa saja yang berhasrat menjadi pelawak.

“Jika ada 1,000 orang menyertainya termasuk wanita ini, 999 tidak mental sepertinya. Wanita ni mahu lakukan kejutan, sekali gus mengundang perhatian ramai.

“Kebanyakan pelawak di Malaysia bijak. Jadi, jangan pukul rata apa dilakukannya dengan apa yang pelawak sedia ada lakukan.

“Dia semestinya memerlukan bantuan dan saya harap ubat yang dia akan dapat adalah dengan menonton komediri yang profesional,” kata Harith sinikal.

Tambahnya lagi, tidak semua persembahan lawak akan disukai ramai.

“Setiap orang ada cita rasa. Ada persembahan tak lawak, tapi bertukar menyinggung perasaan. Saya sendiri menghakimi kerjaya ni dengan niat nak melawak atau buat orang tersinggung.

“Wanita ni memang menyinggung sensitiviti orang dengan kejutan dilakukan,” katanya.