Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak Rimau 'belajar' dari ramuan dibawa Ola Bola

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penerbit filem Anak Rimau The Movie mengakui mereka sudah bersedia sekiranya ada pihak membanding-bandingkan karya itu dengan naskhah tempatan lain yang membawa tema pasukan bola sepak.

Kata Fadzil Manap, pihaknya membawa idea untuk menjayakan filem berunsur sukan bola sepak memandangkan naskhah seperti Ola Bola pernah meraih sambutan positif penonton di negara ini.

“Kemungkinan akan ada pihak kaitkan sedikit sebanyak dengan filem pasal bola sepak yang lain. Tapi, Anak Rimau The Movie mempunyai latar belakang penceritaan dan garapan yang berbeza.

Ola Bola dilihat sebagai filem berkisahkan sukan bola sepak yang sangat berjaya, justeru, kami fikir mahu menyuntik sedikit elemen pop untuk memastikan Anak Rimau The Movie juga akan mendapat sambutan,” katanya.

Menurut Fadzil, pihaknya memilih latar belakang bola sepak sebagai tema penceritaan kerana yakin sukan itu disukai peminat tanpa mengira usia.

Katanya ia berkisar kisah remaja yang berusaha mencapai matlamat yang mustahil.

"Kami cuba selitkan dan ketengahkan mesej universal seperti aspek kerjasama, toleransi, kerja kuat, gigih dan berani agar ia sesuai untuk semua penonton Malaysia," katanya.

Tak menyerah kejar impian

Mengenai pelakon pula Fadzil berkata mereka sengaja memilik golongan muda dan muka baru daripada pelbagai bangsa untuk menjayakan jalan cerita ini supaya dapat tampilkan sebuah filem berjiwa Malaysia.

Anak Rimau The Movie merupakan sebuah filem yang memberi inspirasi (seperti Disney) yang mempamerkan keinginan dan kecintaan terhadap bola sepak dan ia mampu menyatukan satu pasukan juara dalam situasi yang sukar,” katanya

Fadzil berkata demikian pada majlis pelancaran Anak Rimau di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ti Lia Ker, yang merasmikan acara itu, dan Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Al-Ikhsan, Vach Pillutla, selaku penaja rasmi.

Filem cereka Anak Rimau The Movie adalah karya yang menceritakan tentang pancaroba dilalui sekumpulan remaja dari pelbagai latar belakang yang mempunyai impian bermain bola sepak untuk negara.

Masing-masing membawa kisah bebanan kehidupan masa lalu tetapi tidak menyerah dalam mengejar impian masing-masing.

Antara barisan pelakon yang menjayakan filem itu ialah Beto Khusyairy, Idan Aedan, Kechikimi, Azhan, Rani, Adam Corrie, Taiyuddin Bakar, Megat Sharizal, Mustaqim Bahadon.

Fadzil juga memaklumkan penglibatan beberapa pelajar Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari bagi menjayakan filem tersebut.

Tayangan Perdana Filem Anak Rimau The Movie arahan Areel Abu Bakar itu bakal berlangsung di DADI Cinema Pavillion Kuala Lumpur pada 24 Ogos ini.

Untuk rekod, Ola Bola sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah kejayaan skuad Malaysia berjaya melayakkan diri ke Olimpik Moscow pada 1980.

Mengenai pengumuman projek tersebut yang agak lewat tarikh promosinya, Fadzil berkata, ia tidak dapat dielakkan akibat kekangan Covid-19.

Katanya, Anak Rimau The Movie yang menelan belanja sebanyak RM5.5 juta itu sepatutnya sudah ditayangkan tahun lalu.

Namun, katanya, sebelum sempai ia diuar-uarkan seluruh dunia diancam wabak berbahaya itu sehingga mengganggu perancangan asal mereka.

“Alhamdulillah, kami yakin 1 September depan adalah tarikh paling sesuai untuk tayangan. Ia bakal ditayang di 55 lokasi pawagam tanah air," katanya.