Skip to main
Logo Malaysiakini

J Lo, Ben Affleck kini suami isteri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pasangan selebriti Jennifer Lopez (J Lo) dan Ben Affleck berkahwin di Las Vegas, Sabtu lalu, 18 tahun selepas hubungan mereka menemui kegagalan, menurut dokumen mahkamah.

Ia berdasarkan lesen perkahwinan yang mereka failkan di Clark County, Nevada, yang dilihat AFP.

Jennifer mengesahkan perkahwinan mereka itu dengan mengakhiri surat berkenaan dengan nama baru: Puan Jennifer Lynn Affleck.

“Malam tadi kami terbang ke Vegas, berdiri dalam barisan untuk mendapatkan lesen dengan empat pasangan lain, semuanya melakukan perjalanan yang sama ke ibu kota perkahwinan di dunia itu.

“Kami hampir tidak sampai ke gereja kecil perkahwinan putih itu sebelum tengah malam.

“Namun, mereka tutup lewat untuk beberapa minit dan membenarkan kami mengambil gambar dalam kereta Cadillac merah jambu (yang pernah digunakan Elvis Presley),” katanya.

Pasangan itu mula berkenalan pada sesi penggambaran romantik komedi, Gigli pada 2001.

Kedua-duanya mengikat tali pertunangan menjelang November 2002, tetapi menangguhkan perkahwinan mereka pada September 2003 gara-gara menjadi bahan sensasi media.

Bagaimanapun, Jennifer dan Affleck tidak berjaya menoktahkan hubungan itu melalui perkahwinan dan secara rasmi mengumumkan hubungan mereka berakhir pada 2004.

Pasangan yang digelar sebagai ‘Bennifer’ kembali hangat diperkatakan tahun lalu apabila gambar mereka dilihat bersama, tersebar.

Jennifer, 52, dan Affleck, 49, mengumumkan pertunangan pada April lalu.

Untuk rekod, ini adalah perkahwinan keempat untuk Jennifer dan kedua untuk Affleck.

Jennifer sebelum ini berkahwin dengan pelakon, Ojani Noa; penari, Cris Judd dan penyanyi Marc Anthony. Mereka dikurniakan anak kembar Max dan Emme, 14.

Affleck juga pernah berkahwin sebelum ini dengan pelakon Jennifer Garner dan hasil perkahwinan itu dikurniakan tiga anak iaitu, Violet, 16, Seraphina, 13, and Samuel, 10.