Skip to main
Logo Malaysiakini

Dewa 19 tambah satu malam lagi untuk konsert di KL

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Susulan ramai peminat yang terlepas peluang untuk membeli tiket Konsert Anniversary Tour 30 Years of Dewa 19, yang dijadual berlangsung pada 10 September depan, band popular Indonesia itu menambah satu malam lagi untuk konsert mereka.

Pengasas Dewa 19, Ahmad Dhani melalui hantaran video berkata, sempena konsert bagi meraikan 30 tahun pembabitan dalam industri muzik, mereka berbesar hati untuk menambah persembahan itu menjadi dua malam, istimewa buat peminat di Malaysia.

“Gokil Malaysia! Dalam masa satu jam, tiket habis dijual. Kami sangat berbesar hati dengan sokongan baladewa dan baladewi di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur.

“Jadi untuk membalas sokongan dan rindu kalian, kami akan menambah satu malam lagi untuk hiburan semua.

“Maka konsert akan bermula awal sehari iaitu pada 9 September bersamaan hari Jumaat di lokasi sama,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Dhani sempat berpesan agar peminat-peminat Dewa 19 segera membeli tiket agar mereka tidak terlepas sekali lagi.

Bagaimapun, hasil semakan di media sosial, ramai menyatakan ketidakpuasan hati memandangkan mereka sudah terlebih dulu bersusah payah membeli tiket semalam selain persembahan yang sepatutnya berlangsung pada hari pertama sudah menjadi hari yang kedua.

Konsert yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil itu bakal menampilkan kesemua empat orang vokalis Dewa 19 yang pernah bersama kumpulan itu untuk mendendangkan 30 buah lagu.