Lepas isu 'gelang ajaib', kini AC Mizal boleh tidur sambil senyum
Sekalipun namanya masih dikenang dek kontroversi 'gelang ajaib' atau zaman gantung cakera padat (CD) di leher semasa era 4U2C, AC Mizal tidak memandang ia dari sudut negatif.
Pengacara, pelawak dan penerbit itu bahkan bersyukur, walaupun pernah dikecam, dia kini “boleh tidur sambil tersenyum” selepas membuka lembaran baru melalui produk kebanggaannya, Suke TV.
“Sekurang-kurangnya, orang yang mengkritik itu tahu dan sedar, saya yang dulu jual gelang dan pakai CD di leher ni sudah memiliki stesen TV (televisyen).
“Bukan apa, saya harap ramai orang boleh belajar daripada pengalaman saya. Dulu tidur tak boleh senyum, sekarang lebih tenang. Saya tak pernah putus asa, biarlah apa orang lain nak cakap.
“Jika nak diikutkan, macam-macam saya kena (kecam). Memanglah, mana boleh lupa sejarah kita. Alhamdulillah, sekurang-kurang orang ingat pada saya,” katanya.
Pengerusi Suke TV tu berkata, dia juga pernah berdepan dengan segelintir pihak yang memandang rendah pada usaha dia bersama isterinya, Emylia Rosnaida, untuk menubuhkan sebuah stesen penyiaran.
Namun kata AC Mizal, 50, mengenangkan pelbagai bisnes sudah dicuba dan kemudian dihadirkan jalan itu untuknya, dia bertekad sambil berlapang dada mendepani dugaan yang terus mendatang.
“Ada pihak mengutuk dan berkata: jangan beranganlah artis nak ada stesen TV. Ketika tu mereka sebenarnya tak tahu saya dan ada lesen.
“Ada juga pihak bertanya, adakah kami mempunyai wang untuk siarkan kandungan. Kandungan masa tu dah siar dah pun.
“Selain tu, ada juga bertanya bolehkah kami bertahan? Sekarang baru empat bulan beroperasi, cuba bagi kami tempoh setahun,” jelasnya.
Tetap kena bayar
AC Mizal berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian memorandum Suke TV bersama platform penstriman, iQIYI di Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar iQIYI Malaysia, Singapura, dan Brunei, Dinesh Ratnam serta Emylia selaku Pengarah Suke TV.
Majlis itu menyaksikan kedua-dua pihak berkolaborasi untuk menyiarkan program-program Suke TV di platform iQIYI untuk penonton Malaysia dan Singapura.
Boleh dikatakan berjaya dalam dunia perniagaan, AC tidak menafikan sekiranya dirinya kini bergelar jutawan.
“Kalau saya cakap tak, agak kelakar. Sebab pekerja saya saja sudah ada 80 orang.
“Studio berada di tingkat bawah, peralatan yang digunakan menelan belanja berjuta-juta. Saya memang belum merasa berjuta (pendapatan), tapi belanja dah berjuta-juta.
“Untuk memperbaharui lesen milikan saluran TV secara tahunan saja sudah RM50,000 kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
“Saya dah memiliki lesen tersebut selama lima tahun sebelum saya mula. Jadi untuk keseluruhan, jumlah adalah RM250,000.
“Jalan tak jalan perniagaan, tetap kena bayar, sakit hati juga di situ,” jelasnya berseloroh.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai