Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiket konsert Dewa 19 laku 'keras'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bahang kehangatan konsert Dewa 19 sudah dirasai apabila tiket Konsert Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19 itu yang dibuka untuk persembahan hari tambahan bermula jam 3 petang tadi turut habis terjual.

Penganjur konsert berkenaan iaitu Icon Entertainment sebelum ini menguar-uarkan pihaknya menambah lagi penjualan tiket konsert yang sudah habis terjual dalam masa kurang dari satu jam sejak dibuka pada jam 11 pagi semalam.

“Malaysia sold out (habis) lagi!” tulis Insta Story rasmi band itu sebentar tadi.

Terdahulu, media melaporkan, pihak penaja sudah dapat menjangka sambutan hangat yang bakal diterima itu.

Buat pertama kalinya Dewa 19 bakal menghimpunkan empat vokalis mereka iaitu Ari Lasso, Once Mekel, Virzha dan Ello di atas satu pentas yang sama iaitu di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 9 dan 10 September ini.

Ahmad Dhani dalam satu kenyataan memberitahu konsert yang diraikan di 30 bandar itu akan mempersembahkan 30 lagu kepada para peminat untuk konsert julung kali ini.