Skip to main
Logo Malaysiakini

Bakal saksikan konsert Dewa 19, Nam Ron 'tak takut mati'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketika ada segelintir pihak menganggap berhibur di sesebuah konsert sebagai perbuatan melalaikan, pelakon dan pengarah Nam Ron tampil menjelaskan hal itu adalah berbeza buat dirinya.

Katanya, dia didatangi individu yang bertanya apa kewajaran untuk dia - yang dianggap sudah "tua" untuk terus menghadiri persembahan konsert dan bagaimana jika ditakdirkan mati di situ.

Menurut Nam Ron, dia dinasihatkan agar tidak lagi perlu terbabit dengan konsert dan lebih baik mengingati mati.

Mengulas mengenai konsert Dewa19 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada Sept ini, Nam Ron berkata, dia menganggap persembahan kumpulan dari Indonesia itu sama saja dengan konsert Raihan atau Kembara bersama M Nasir.

“Sebenarnya kedua-dua kugiran ini saya letak sama level dengan kumpulan Raihan. Mereka mentauhidkan hati kita hanya pada yang satu iaitu Allah.

“Cuma aliran mereka berbeza di antara nasyid dan kugiran.

"Dewa 19 (Ahmad Dhani) dan Kembara (M Nasir) membawa lagu lagu spiritual atau sufisme yang mengajak kita untuk mengesakan Allah.

“Apabila mendengar lagu-lagu mereka, saya menjadi tertarik untuk mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.

Pun begitu, Nam Ron mengakui, dia bukanlah seorang peminat tegar acara konsert kerana kali terakhir dia berhibur dengan cara sebegitu ialah lebih 20 tahun lalu.

"Seingat saya kali terakhir saya menonton konsert adalah pada lewat 1980-an ketika zaman Battle Of The Band, zaman Ella masih dengan The Boys dan Rahim Maarof masih dengan White Steel buat konsert kat tapak fun fair.

"Selepas tu, sampai ke hari ni saya tak pernah menonton konsert.

"Sekarang dah lebih dua dekad, saya akan kembali menonton konsert," katanya.

Hanya takut kepada Allah

Jelas pemilik nama sebenar Shahili Abdan itu, kira-kira sedekad lalu dia mula 'mencari' dan cuba mendekati agama.

Ketika itulah, katanya, air matanya pernah menitis apabila mendengar bait-bait lirik lagu didendangkan kumpulan berkenaan.

Bagi pelakon filem Mencari Rahmat itu, Allah menghantar hidayah kepadanya melalu kedua-dua kumpulan itu sehingga menjentik hatinya mendekatkan diri dengan agama.

“Saya terasa kecil tak berkuasa. Ia mendorong saya untuk mendalami ilmu tauhid hingga membunuh keakuan yang kukuh bertakhta di hati saya.

“Mereka juga saya anggap sebagai guru awal saya untuk mengenal Maha Pencipta.

“Ahmad Dhani juga pernah berkata dia mengidolakan M Nasir kerana lagu lagu ciptaannya. Secara tak langsung nafas cinta mereka mengalir sesama mereka. Nafas nafas cinta ini juga mengalir ke pendengar mereka seperti saya,” katanya.

Justeru, kata Nam Ron, sekiranya ada yang bertanya jika dia tidak takut mati semasa menghadiir konsert, itu bukanlah kebimbangannya.

“Jawapan saya adalah tidak, kerana saya hanya takut pada Allah yang Maha Esa. Dia yang menentukan di mana dan bila saya akan mati," katanya.