Skip to main
Logo Malaysiakini

Kembali bujang buat Ayie Leon mahu aktif bawa rock kapak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Vokalis kumpulan rock kapak sekitar 90-an iaitu Ayie Leon kembali menghangatkan industri muzik dengan single terbaru, Damaikan Jiwa selepas sekian lama menyepi.

Namun, kehadiran buah tangan terbaru itu bersebab.

Kata pemilik nama sebenar Nazrimi Md Ali itu, dia ingin aktif semula mempopularkan lagu-lagu rock memandangkan dirinya kini kembali bujang.

Menurut penyanyi Saling Merindui itu, rumah tangganya tidak dapat diselamatkan ekoran berdepan masalah kewangan sepanjang pandemik lalu.

“Ya, saya sekarang ni dah menduda. Saya bercerai kira-kira dua tahun lalu sebab masalah kewangan.

“Saya memang bergantung sepenuhnya dengan karier nyanyian. Tapi sepanjang pandemik lalu, saya kehilangan pendapatan.

“Saya dan isteri ambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing dengan perceraian,” katanya.

Dia ditemui pada sidang media pelancaran lagu berkenaan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ayie mendirikan rumah tangga dengan Zulisa Zulkifli, 46. Hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut dikurniakan seorang anak, Putri Nazlisabella, 16 tahun.

Berkongsi perihal Damaikan Jiwa yang dicipta oleh Ariey Leon, vokalis itu menyifatkan lagu berkenaan adalah luahan hatinya yang gagal menjadi suami terbaik.

“Saya meluahkan segala rasa kecewa menerusi bait-bait lirik dalam lagu ini akibat kegagalan dulu.

“Sebagai seorang suami dan juga ayah, saya tak menyalahkan sesiapa pun sebaliknya hanya diri sendiri,” jelasnya.

Pada masa sama, Ayie berkongsi untuk menghasilkan lebih banyak lagu bergenre rock kapak dalam perancangan solonya.

“Ada kira-kira 30 lagu rock kapak belum dirakam. Saya akan bergerak solo sebab anggota Leon yang lain ada komitmen masing-masing.

“Untuk persembahan sekarang saya bergerak dengan anak saya, Putri, dia juga akan berduet dengan saya manakala Ariey (drum) akan menyertai sekiranya dia berpeluang,” katanya.