Persatuan nobatkan Pyanhabib sebagai ‘Penyair Kuala Lumpur’
Gabungan Persatuan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menobatkan Pyanhabib sebagai penerima Anugerah Tokoh Puisi Kuala Lumpur dengan gelaran “Penyair Kuala Lumpur”.
Pemilihan itu antaranya dibuat berdasrkan penglibatan dan komitmennya dalam dunia perpuisian serta sikap yang tulus terhadap seni puisi.
“Beliau tidak berada di kerusi elitis tetapi sangat merakyat, menjadi jurubicara masyarakat bawahan apabila muncul sesuatu isu yang melibatkan kehidupan rakyat.
“Beliau tidak gentar menyuarakan kritikannya terhadap penguasa sekiranya ada kebejatan dalam perlakuan politik mereka sehingga meresahkan kehidupan rakyat,” kata Presiden Pena Mohamad Saleeh Rahamad.
Pemilihan itu diumumkan dalam sambutan Hari Puisi Kebangsaan peringkat Kuala Lumpur pada pada Jumaat, dalam acara bulanan Baca Puisi Pena.
Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abd Rahman bergiat aktif dalam acara puisi di Kuala Lumpur sejak tahun 80-an.
Dia terkenal kerana sering muncul dalam acara puisi di mana-mana sahaja. Dia turut terkenal sebagai pelakon, antaranya melalui filem Kembara Seniman Jalanan (1986) Rozana Cinta 87 (1987) dan Mat Som (1990).
“Fenomena baca puisi di bawah tiang lampu dan ruang legar Bangunan Dayabumi sekitar tahun 80-an dan awal 9-0-an turut mendapat nafas daripada Pyanhabib.
“Bukan sahaja disebabkan olah gaya dan penglibatannya, Pyanhabib juga memiliki daya kreativiti dan kehalusan seni sastera melalui puisinya.
“Kekuatannya tidak dibayangi penyair lain, bahkan gaya idiosinkarasinya jelas terserlah,” kata Saleeh.
Pyanhabib menghasilkan dua buah kumpulan puisi berjudul Suara dan Saraf Dukaku serta sebuah koleksi sajak terlengkap kepenyairan beliau berjudul Balada Pyanhabib.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai