Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak seksi, Azhar Sulaiman anggap ujian hidup

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Beranggapan setiap ibu bapa pasti berdepan cabaran, Azhar Sulaiman reda, sekiranya berdepan ujian hidup dalam membesarkan anak-anak khususnya yang bernama Kasih Iris Leona.

Menurut pelakon itu, walaupun anaknya yang juga personaliti media sosial itu sering dikecam gara-gara penampilannya terlalu seksi, dia tetap bersyukur dikurniakan anak sedemikian.

Kata Azhar, 51, Kasih Iris Leona sering mengingatkan dia pada zamannya sewaktu muda remaja dulu.

“Syukur alhamdulillah, ada anak seperti Kasih Iris Leona. Ya, dia suka pakai seksi... dah cakap jangan seksi, ya tetap bergambar seksi.

“Setiap ibu bapa akan ada pelbagai jenis masalah dengan anak-anak mereka. Kamu namakan sajalah, segala masalah, seorang anak boleh conteng arang pada ibu bapa dia.

“Pada saya biarlah begini dari begitu. Zaman dulu saya lebih teruk kalau nak renung balik zaman muda saya dulu,” katanya di media sosial.

Untuk rekod, Azhar yang juga pelakon Abang 92 itu mendirikan rumah tangga dengan Chempaka Emalin Pahamin pada 1996.

Melalui perkahwinan itu, dia dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Kasih Leia Ixora, 23, serta pasangan kembar, Andika Rees Pahamin dan Kasih Iris Leona, 20 tahun.

Pelakon Love, Supermoon itu juga berkata bila mengenangkan zaman lalu, dia reda sekiranya itu adalah balasan Tuhan kepada masa lampaunya.

“Anak-anak adalah balasan kepada apa yang kita buat semasa bujang dulu.

“Saya reda dan harap dapat menjaga keluarga saya dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.