Skip to main
Logo Malaysiakini

Penerbit filem Mr Cinderella meninggal dunia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penerbit yang juga Pengarah Urusan Kuasatek Pictures, Mohd Noor Kadir, menghembuskan nafas terakhir akibat kanser prostat tahap empat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 2 pagi tadi.

Berita pemergiannya itu disahkan sahabat baiknya yang juga penerbit terkenal, Yusof Haslam.

Yusof berkata, dia terkejut mendengar sahabat baiknya itu telah pulang ke rahmatullah.

“Arwah menjalani pembedahan jantung, bulan lalu. Arwah sudah balik rumah, namun, dikejarkan ke HKL semula selepas jantungnya bengkak.

“Jumaat lalu, saya ada melawatnya. Keadaannya agak lemah, tetapi masih boleh melayan saya berbual.

“Ikutkan, saya mahu melawat arwah hari ini (Jumaat), saya memang tergerak hati nak menjenguknya lagi.

“Namun, Allah lebih menyayangi arwah. Isteri, (Patimah Ismail) mengejutkan saya selepas mendapat panggilan telefon daripada anak arwah kira-kira jam 2.15 pagi,” katanya seperti dipetik BH Online.

Menurut Yusof, dia diberitahu arwah berdepan beberapa komplikasi lain selepas menjalani pembedahan jantung.

“Minggu lalu, arwah dikejarkan semula ke HKL disebabkan jantung bengkak, kemudiannya paru-paru berair.

“Terbaru, arwah disyaki mengalami kanser prostat tahap empat, sebelum meninggal dunia,” katanya dengan sebak.

Allahyarham Mohd Noor pernah menerbitkan beberapa drama popular seperti Cinta Korporat, Marabbuka, Cinta Antara Benua, Cinderella, Romeo & Juliet, Salam Taj Mahal dan Kama Sutra pada era 1990-an.

Dia juga pernah menerbitkan dua buah filem popular iaitu Mr Cinderella 1 dan 2 selain bertindak selaku penulis skrip naskhah tersebut.