Cikgu Zack adukan ke polis 'gangguan' isu degup, denyut jantung
Gara-gara menegur tatabahasa dalam lirik lagu Casablanca, Cikgu Zack Kirana mendakwa dia menjadi mangsa serang oleh pihak yang tidak bersetuju dengan pendapatnya itu.
Justeru, Zack Kirana membuat laporan polis kerana beranggapan maruah serta kariernya kini boleh terjejas ekoran individu terbabit didakwanya terus-menerus menyerang dan memprovokasi melalui media sosial.
Menurut Zack atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim, dia membuat laporan polis tersebut di Petaling Jaya kira-kira jam 6.30 petang semalam .
“Saya dimaklumkan oleh rakan, bahawa ada seorang individu memuat naik komen tidak menyenangkan dan mengiringi hantaran itu dengan wajah saya serta sebahagian artikel mengenai hal itu di laman Facebook miliknya.
“Kapsyen dimuat naik olehnya mengundang kemarahan saya kerana terdapat unsur provokasi dan ada sifat peribadi.
“Apabila dia berbuat demikian, saya fikir ia boleh menjejaskan periuk nasi saya kerana dia menuduh saya menipu di domain publik, dan sebab tu saya buat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tambah Zack Kirana, jika individu terbabit ikhlas memperjuangkan ilmu secara berilmiah, sudah pasti dia tidak menggunakan hantaran berbaur hasutan.
Katanya ada cara lain yang lebih baik untuk menyatakan rasa tidak puas hati, bukannya memilih cara terbuka dan berbentuk hasutan begitu.
Sebelum ini, Zack Kirana, 34, menjadi perhatian sesetengah pihak dan pengguna TikTok selepas menegur penggunaan perkataan "denyut jantung" dalam lirik lagu nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin itu.
Ia turut mendapat respons daripada komposer dan penulis lirik lagu berkenaan, Azmi Abdul Manap atau lebih dikenali Daqmie, yang mengakui perkataan "degup jantung" lebih sesuai.
Bagaimanapun, Daqmie berkata, dia mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih "denyut" berbanding "degup" dalam lagu tempatan yang tular hingga ke Spotify Global dan Indonesia itu.
Untuk rekod, lagu Casablanca turut dicipta bersama Wan Saleh manakala Abdulkarim Al Ali sebagai penulis lirik bersama Daqmie.
Zack Kirana berkata, dia menyedari wujudnya 'lesen puitika' atau kelonggaran hukum tatabahasa dalam karya kreatif malah mengakui terkhilaf dalam berkongsi ilmu buat tatapan umum.
Justeru kata guru itu, dia sepatutnya menjelaskan secara terperinci bahawa tegurannya sebelum ini adalah spesifik ditujukan untuk pelajar saja.
“Kalau diberi skema jawapan, pilihan yang tepat adalah degup. Ini adalah dilema saya sebagai guru apabila ada pelajar bertanyakan mengapa mereka tak boleh gunakan denyut tapi dalam lagu boleh.
“Jadi hal itu membelenggu saya. Namun, saya dah buat kenyataan maaf di media sosial malah sudah menurunkan video berkenaan kerana enggan memanjangkan lagi isu ni,” jelasnya.
Malaysiakini sudah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk mendapatkan pengesahan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai