Skip to main
Logo Malaysiakini

Black bangga anak berminat pada 'atuk yang buat KLCC'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi dan pelakon, Black Hanifah, mengakui dia tidak menyangka anak sulungnya, Khaleef Dayyan, menaruh minat terhadap usaha pembangunan dilakukan Dr Mahathir Mohamad.

Kata penyanyi itu, ia berlaku selepas pertama kali anaknya - yang berusia tujuh tahun itu - bersua muka dengan tokoh politik berkenaan di Langkawi baru-baru ini.

Ketika itu, kata Black, Dayyan bertanya adakah "atuk" berkenaan yang membina Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

"Tetapi ketika itu Tun (Mahathir) secara berjenaka menjawab kepada Dayyan: 'Bukan atuk buat, tapi atuk suruh depa (mereka) buat'. Dayyan gembira sangat sebab dia suka sejarah," katanya kepada Malaysiakini..

Menurut Black dia juga menjelaskan kepada anaknya bahawa "atuk" terbabit jugalah pernah menjadi pemimpin negara ini suatu ketika dulu.

Secara berseloroh juga, kata Black, dia bercerita bagaimana Mahathir mengubah Pulau Langkawi sehingga menjadi seperti apa yang ada pada hari ini.

Sejak itu katanya Dayyan terus menunjukkan minat kepada Mahathir.

“Tak habis-habis dia buat carian dalam Google mengenai Tun M,” katanya.

Dayyan adalah anak kepada Black selepas dia mendirikan rumah tangga dengan Naquia Yasirah Mohd Khairy atau Cira pada 13 Sept 2013. Selain Dayyan, pasangan itu juga dianugerahkan anak perempuan, Rindu Dayyana yang kini berusia empat tahun.

Terdahulu, Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah berkongsi imej dia menghiburkan Mahathir di sebuah gerai rakannya di Kuah, Langkawi.

Tokoh lemah lembut, berbudi

Berkongsi keterujaannya, Black, 34, berkata dia yang secara kebetulan makan bersama keluarganya melihat ramai pemandu Grab datang berkonvoi dan dimaklumkan mereka datang dari beberapa negeri dan singgah di gerai tersebut.

Jelasnya, tiba-tiba, Mahathir membuat kejutan apabila berkunjung ke gerai berkenaan.

“Saya kebetulan berada di situ, jadi ramai pemandu Grab yang menghampiri untuk mengambil gambar dan mereka menyuruh saya menyanyi untuk Tun.

“Secara kebetulan, pengiring Tun mengajak kami bergambar dan pada masa itulah saya sempat berbual dengannya dan memperkenalkan keluarga saya,” katanya.

Gambar fail

Menurut penyanyi Teman Pengganti itu, perasaannya ketika itu bercampur baur kerana gugup apabila diminta menyanyikan lagu untuk Mahathir.

“Saya tak tahu kenapa rasa gugup bila nyanyi depan Tun M sampai nak menyanyi pun suara tersangkut-sangkut walaupun lagu sendiri.

“Tun M puji suara saya sedap dan minta nyanyikan dia satu lagu lagi. Lepas tu saya terus nyanyi lagu Ahmad Jais, Kau Pergi Tanpa Relaku. Alhamdulillah, kali kedua nyanyi tak sangkut atau gugup lagi," katanya.

Menceritakan pengamatannya terhadap Mahathir, Black berkata, ahli parlimen Langkawi itu sangat berbudi bahasa, lemah lembut dan tak kering dengan senyuman sepanjang masa mereka bersembang.

"Ini pengalaman paling bermakna. Dan lama saya teringin nak menyanyi depan Tun M, alhamdulillah ini rezeki tak disangka apabila dapat menyanyi dan duduk di sebelah dia,” katanya.