Skip to main
Logo Malaysiakini

Dilihat sumbang, Hattan tampil bela Ning Baizura

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tidak wajar untuk mengecam persembahan seseorang penyanyi hanya kerana sebuah video tular memaparkannya seolah-olah gagal membawa lagu sendiri.

Demikian kata Hattan mengenai nyanyian Ning Baizura yang didakwa tidak memuaskan baru-baru ini.

Kata penyanyi itu, dia simpati dengan nasib menimpa Ning Baizura namun percaya tiada penghibur yang sengaja ingin merosakkan persembahan sendiri di depan khalayak.

“Aku tak suka tengok orang bantai dia, buli dia, kau ingat dia nak buat nyanyi macam tu ke? Tak kot. Kadang-kadang, mereka pun tak mahu jadi macam tu. Tapi apa pun, aku simpati dengan dia,” katanya.

Hattan menjelaskan, insiden itu mungkin berlaku secara tidak langsung, malah boleh dipengaruhi beberapa faktor misalnya kerana emosi Ning Baizura terganggu disebabkan lagu berkenaan ditujukan khas buat arwah bapanya.

Menurutnya, dia juga pernah berdepan situasi sama apabila mutu nyanyiannya merosot disebabkan tidak dapat menahan sebak.

“Masa aku lancarkan lagu 5 Oktober tahun lalu kan aku nyanyi sangkut (tak sampai). Sebab aku teringat anak Bob meninggal. Aku yang angkat jenazah dia.

“Separuh daripada lagu tu aku tak menyanyi habis. Benda macam tu memang boleh mempengaruhi. Dia (Ning Baizura) dah dapat head voice tu tapi nampak dia hilang balik fokusnya pada nyanyian di tengah.

“Aku rasa dia dah buat yang terbaik, jangan salahkan dia,” katanya.

Hattan berkata demikian pada malam pratonton filem terbaru lakonannya, Gadis Jolobu di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya malam tadi.

Terdahulu, sebuah klip memaparkan Ning Baizura mempersembahkan lagu Awan Terpilu di sebuah lokasi mengundang perhatian umum apabila dia dikatakan gagal menyanyi dengan baik.

Bagaimanapun, Ning Baizura, 47, berkata, sejak dulu menyanyi lagu itu dia akan sebak kerana terkenangkan arwah bapanya.

Ning Baizura, berkata, perbuatan menyebarkan hanya sebahagian klip yang telah disunting mengenai persembahannya itu sebagai sengaja ingin menjatuhkan reputasinya.

Penyanyi Dugaanku itu juga menjelaskan, kejadian berlaku pada malam keempat dan terakhirnya membuat persembahan di situ.

Menurutnya persembahannya itu diibaratkan seperti sebuah konsert kerana setiap hari dia perlu menyampaikan sekurang-kurang 20 buah lagu.

Hattan tidak menolak kebarangkalian faktor usia dan keletihan boleh membawa impak negatif dalam setiap persembahan, dan Ning Baizura tidak terkecuali dalam soal itu.

“Aku tengok video Ning tu, bila kita capai satu tahap umur, dia lost dia punya head voice tu. Ning perlu merujuk Siti Khairani untuk mendapatkan kekuatan vokalnya semula.

“Aku tak salahkan dia. Mungkin dah terlampau letih tu satu hal. Sebab aku baca, dia dah nyanyi 20 lagu untuk empat malam berturut-turut.

“Kita tak boleh nak expect apa. Maafkan dia, pasal, orang perempuan ni kalau dah beranak lagu susah nak menyanyi macam biasa,” katanya.