AIM23: Tiada edisi Mandarin, Tamil selaras semangat Keluarga Malaysia
Selepas enam tahun menyepi, Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) kembali menghangatkan industri tanah air dengan wajah berbeza pada 11 Sept nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Rosmin Hashim, berkata untuk kali ini pihaknya memansuhkan Anugerah Industri Muzik Mandarin dan Tamil dengan memasukkan lagu itu di bawah kategori anugerah utama.
“Pemansuhan berkenaan dibuat sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia.
“Lagi pun kita melihat ramai penonton Melayu, jadi mengapa tidak saja kita mansuhkan dan masukkan dalam kategori utama,” katanya.
Menurutnya AIM23 mengiktiraf bakat pengamal industri muzik tanah air melalui karya yang lahir dalam tempoh satu setengah tahun ini.
“Selalunya untuk AIM kami menilai lagu-lagu yang terbit dalam tempoh setahun. Namun memandangkan AIM sudah lama tak diadakan, maka kami anjak tempohnya satu setengah tahun.
“Jika kita ambil lebih lama daripada itu pula, AIM akan dilihat sedikit ketinggalan.
“Jika ada yang karyanya lebih lama daripada tempoh berkenaan, kami anggap saja tak ada rezeki untuk dipertandingkan di AIM.
“Cuma saya percaya karya mereka akan dan boleh diiktiraf dalam platform anugerah yang lain,” katanya.
Anugerah tetap signifikan
Rosmin ditemui pada sidang media AIM ke-23 yang diadakan di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.
Disebabkan tertangguh untuk tempoh lama dan kekangan Covid-19, pencalonan AIM hanya dibuka untuk lagu atau album dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.
Tempoh pencalonan dibuka mulai 27 Julai lalu dan akan berakhir jam 5 petang pada 5 Ogos ini.
Sebanyak 26 anugerah dipertandingkan tahun ini termasuklah tiga anugerah baru iaitu Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, dan Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Asing.
Kategori lain turut dipertandingkan ialah Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik, Video Muzik Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik, Video Muzik Terbaik dan lain-lain.
Sementara itu, diminta mengulas cakap-cakap belakang yang mengkritik AIM - yang bakal berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam - sebagai tidak relevan, Rosmin menyangkal dakwaan berkenaan.
Katanya, penganjuran AIM masih signifikan terutama apabila penjuriannya yang berbeza berbanding mana-mana anugerah muzik lain.
“Acara ini dinantikan seluruh warga industri tanah air dan masih relevan.
“Ia berbeza dengan anugerah sedia ada kerana penilaiannya dibuat oleh orang yang memang pakar dalam industri muzik,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai