Skip to main
Logo Malaysiakini

Badan pelesenan kumpul justifikasi untuk pinda Akta Hak Cipta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Demi memanjangkan tempoh pembayaran royalti kepada penggiat muzik tempatan, empat badan pelesenan kini berusaha keras mengumpul maklumat dan hujah sebagai justifikasi agar Akta Hak Cipta 1987 ditambah baik.

Semua maklumat itu, kata Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, akan dihantar kepada kerajaan dan berharap ia mendapat kelulusan daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Kata Rosmin, selain RIM, tiga lagi badan itu ialah Public Performance Malaysia Berhad (PPM), Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).

Menurutnya, antara justifikasi yang ada ialah kepentingan melihat kepada undang-undang hak cipta di luar negara sebagai panduan.

“Apa yang mereka (MyIPO) minta adalah rasional perkara berkaitan, dan yang kami senaraikan setakat ini ada 60 negara luar sudah memanjangkan tempoh perlindungan royalti ke 70 tahun, malah ada yang hingga 100 tahun pun.

“Tempoh berkenaan seakan-akan sudah menjadi piawaian baru antarabangsa dari segi perlindungan hak cipta.

"Jika dipanjangkan, penggiat muzik tempatan akan terus dapat menikmati hasil bayaran royalti lebih lama.

“Pihak yang layak mendapat royalti seperti syarikat rakaman, penulis lagu, penyanyi - mereka inilah yang akan mendapat faedah berterusan jika tempoh tersebut ditambah lagi 20 tahun,” katanya.

Harap dibentang, diluluskan

Tambah Rosmin, apabila sesebuah syarikat rakaman menerima royalti, perolehan itu boleh dilaburkan semula untuk rakaman baru.

Hal itu juga, katanya, akan membantu membangunkan industri muzik tanah air.

Rosmin menjelaskan, seboleh-bolehnya mereka mahukan pindaan terhadap akta berkenaan dilakukan secepat mungkin.

“Kalau tak, apabila tempoh tamat, semua yang disebut tadi tak lagi menerima pendapatan.

“Kalau yang terlepas, mereka rugilah. Sebagai contoh aduan daripada Sazali anak Allahyarham P Ramlee, tahun depan tempoh perlindungan hak cipta tu akan tamat.

“Jadi, kalau tahun depan masih lagi belum dipanjangkan, dia tak akan boleh terima royalti lagi. Kalau katakan lagi dua tahun dipinda daripada tempoh itu, barulah dia akan dapat balik haknya.

“Kami berharap ia dibawa ke parlimen, bentangkan, dan lulus, kemudian jadi undang-undang,” katanya.