Skip to main
Logo Malaysiakini

Azri Iskandar belum sedia kongsi gambar tunang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

“Tunggu apabila kami berkahwin nanti baru boleh kongsi,” demikian ulas Azri Iskandar berhubung dakwaannya kini sudah mengikat tali pertunangan dengan penulis Azra Diera.

Menurut pelakon itu, ia bagi menghormati permintaan keluarga perempuan bagi mengelak salah faham.

Kata Azri, majlis tunang itu dilakukan pada 29 Jun lalu, di kediaman ibu bapa Azra iaitu di Kangar, Perlis.

“Kali ni majlis tunang disertai oleh mak cik saya yang menetap di Kuala Lumpur. Pada awal sepatutnya dilakukan mak cik seorang lagi.

“Cuma keadaan kesihatannya tak mengizinkan kerana penyakit kencing manis dan terbaru, dia disahkan mengidap kanser, doakan mak cik saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada masa sama, Azri menafikan dia terbabit dalam ‘love scam’ seperti dakwaan segelintir pihak.

“Orang yang cakap macam tu tak ada otak. Hati jahat, tak baik,” katanya.

Azri bercerai talak satu dengan Ellie Suriati Omar pada 17 Mei lalu. Perkahwinan itu runtuh selepas 19 tahun pasangan berkenaan hidup bersama.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 13.

Azri juga menerusi perkahwinan pertama mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31; Farah Qistana, 29; dan Nur Anis Mastura, 27.

Mengulas lanjut, Azri berkata, dia dan Azra merancang untuk bernikah pada musim cuti sekolah akan datang.

Bagaimanapun, pelakon filem Jangan Tegur itu tidak memberitahu tarikh majlis berkenaan secara terperinci.

“Perancangan nak kahwin insya-Allah. Kami akan bernikah di Kangar cuma belum ada tarikh. Mungkin masa cuti sekolah akan datang,” ujarnya.