Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada insulin dalam badan, muka Ako Mustapha jadi senget

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ako Mustapha kini dirawat di wad isolasi selepas berdepan saat cemas dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat tiada insulin dalam badan.

Sebelum itu pelakon terbabit sempat ditempatkan buat sementara di zon kritikal.

Isteri Ako, Kartina Shuaib, berkata suaminya itu terpaksa dikejarkan ke HKL akibat saraf dan otot tubuhnya tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Saya tak ada di rumah sebab outstation sejak minggu lalu. Apabila saya pulang ke rumah, saya dapati mukanya dah jadi lain macam, senget.

“Kata Ako, dia baru muntah lepas minum air dan sup. Malah apa saja, yang ditelan keluar balik.

“Saya tak tahu dia tak ambil ubat kencing manis sewaktu saya tiada di rumah,” katanya.

Kira-kira tiga jam sebelum itu, Kartina memaklumkan di media sosial, Ako dimasukkan ke hospital dan memohon peminat mendoakan kesihatan suaminya itu.

Bagaimanapun, Kartina berkata, keadaan Ako itu bukan disebabkan strok namun memaklumkan suaminya akan dipantau doktor selama 24 jam.

Berdasarkan maklumat diberikan doktor, katanya, Ako mengalami masalah akibat tiada insulin dalam badan. Justeru pelakon terbabit diberi enam liter air, glukosa bersama insulin.

“Harap segala apa dimasukkan dalam badannya tidak ditolak keluar semula,” tuturnya.

Berkongsi perkembangan terbaru, Kartina berkata, Ako masih lemah tetapi sudah boleh membuka mulut dan kembali bertutur.

Pun begitu dalam keadaan sekarang, katanya, doktor menasihatkan mereka agar tidak menerima sebarang lawatan.

Ako berkahwin dengan Kartina pada 17 Jan 2009. Hasil perkongsian hidup itu, pasangan terbabit dikurniakan empat orang cahaya mata.