Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas setahun emosi isteri Azmi selalu terusik di pusara anak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi Azmi Saat mengakui emosi isterinya, Nazira Muhammad boleh berubah secara mendadak sekiranya tidak menziarahi pusara arwah anak mereka.

Menurut Azmi yang juga vokalis Caliph Buskers, perkara tersebut masih berlaku meskipun sudah hampir setahun pemergian Khairul Afnan.

“Jadi sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan kami akan melawat kubur anak.

“Jika tak pergi, saya boleh nampak kesedihan di wajah isteri,” kongsinya.

Azmi, 34, berkata, dia juga pernah menyuarakan perancangan memiliki anak lagi melalui kaedah rawatan kesuburan intrauterine insemination (IUI) kepada Nazira awal tahun ini.

Namun, isterinya itu menolak atas alasan dia lebih selesa untuk hamil secara semulajadi.

“Isteri saya menyatakan dia belum bersedia kerana tak mahu perkara sama berulang.

“Katanya, sekiranya Tuhan berikan secara semula jadi dia tak menolak, tapi dia enggan mendapatkan anak melalui kaedah rawatan.

“Katanya, dia tak mahu bertambah sedih, justeru saya hormati permintaan dia. Itulah sekali saya ajukan keinginan, lepas tu tak ada lagi dah,” ujarnya.

Azmi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu barunya yang berjudul Permataku di Pejabat Indigital Music, Petaling Jaya baru-baru ini.

Untuk rekod, Khairul Afnan yang dilahirkan pada 27 September tahun lalu meninggal dunia tiga hari kemudian akibat kegagalan fungsi otak.

Bayi itu adalah satu-satunya cahaya mata Azmi dan Nazira selepas 10 tahun mereka mendirikan rumah tangga.

Tidak mahu Nazira terus terbeban dengan soal anak, Azmi, berkata, dia banyak membuat perancangan untuk melancong bersama Nazira bagi melupakan kesedihan dialami.

“Bila dia dah buat keputusan macam tu, saya fikir, saya kena jaga perasaan dia dan pastikan dia jangan terus bersedih.

“Baik kami melancong apabila ada duit lebih, cari kegembiraan dan lupakan kesedihan,” katanya.

Sementara itu, mengulas lagu Permataku, ciptaan bersama Ajai dan Ahmad Fedtri Yahya, Azmi berkata, dia menaruh harapan agar lagu didedikasi buat arwah anaknya itu mendapat tempat di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Katanya, lagu itu pada awal dihasilkan untuk kelahiran orang baru, tetapi diubah suai sedikit pada bahagian hujung bagi menunjukkan tanda kehilangan.

“Apabila dapat panggilan daripada Ajai, saya dah gembira, terbayang keseronokan menyanyi lagu Pertamaku.

“Saya harap peminat dapat rasa apa saya rasakan melalui pengalaman saya. Daripada kualiti, saya yakin ia mempunyai peluang cerah ke arah itu (menduduki carta AJL).

“Sekarang, saya benar-benar harapkan peminat untuk menyokong lagu ni agar ia mendapat tempat di hati juri dan pentas berprestij itu,” tuturnya.