Skip to main
Logo Malaysiakini

Filem the Lord Musang King dapat sokongan kementerian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyokong usaha penerbitan filem The Lord Musang King sejajar dengan program Road To Oscar yang dianggap sebagai projek khas untuk kepentingan negara.

Timbalannya, Zahidi Zainul Abidin berkata, karya yang mendapat sentuhan Malaysia dan Korea Selatan itu diharap boleh mengetengahkan wajah filem Malaysia di mata dunia.

“Kementerian amat menggalakkan kerjasama sebegini sekaligus berhasrat untuk meningkatkan industri kreatif dan perfileman tanah air.

“Selain itu, filem ini juga dilihat sebagai usaha untuk mempromosikan pelancongan serta buah-buahan tempatan yang eksotik seperti Musang King,” katanya.

Zahidi berkata demikian pada majlis pelancaran filem berkenaan yang diadakan di sebuah restoran di Petaling Jaya hari ini.

Filem itu berkisahkan seorang pemuda bernama Haikal, seorang anak kepada pekebun durian yang berjaya di sebuah bandar bernama Masalia.

Dia dianiaya dan dipenjara. Demi menyelamatkan Haikal, pekebun tersebut yang bernama Samad membuat perjanjian dengan Cheon Jin, presiden syarikat Cheon Ha International Trading Group di Korea Selatan.

Perjanjian tersebut membabitkan pembelian syarikatnya sebagai balasan menolong Haikal untuk keluar dari penjara.

Samad akhirnya dibunuh oleh taikun Korea Selatan tersebut semasa perjanjian tersebut dimeterai. Haikal kemudian menuntut bela oleh Haikal.

The Lord Musang King diterbitkan oleh Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd dan menampilkan barisan pelakon Malaysia dan Korea Selatan antaranya Yusof Bahrin, Fimie Don, Jay Iswazir, Harissa Adlynn Halim dan ramai lagi.

Penggambaran di Malaysia bakal berlangsung selama 21 hari mulai 11 Ogos ini.

Dengan kerjasama itu, Zahidi berharap ia mampu membuka peluang berterusan kepada produksi tempatan untuk bekerjasama dengan negara serantau.

“Filem-filem yang negara hasilkan perlulah berkualiti dan ada sentuhan antarabangsa.

“Sekarang kita bekerjasama dengan Korea Selatan. Lepas ni mungkin kita boleh bekerjasama dengan Thailand atau Indonesia pula.

“Saya juga memuji apabila pengarah hebat dari Korea Selatan seperti Lee Moon Ho y sudi bekerjasama walaupun terdapat jurang bahasa.

“Kami di kementerian berikan sokongan padu dan berharap, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dapat memberi bantuan dari segi geran atau dana untuk rangka promosi,” katanya.