Skip to main
Logo Malaysiakini

Penerbit Gadis Jolobu The Movie nak saman YouTuber

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gara-gara ulasan yang dianggap menjatuhkan nilai karya, pihak produksi Gadis Jolobu The Movie mendakwa mereka bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang penggiat YouTube.

Pengasas bersama Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi, berkata keputusan itu diambil susulan tindakan YouTuber terbabit melabel filem berkenaan dengan perkataan yang menghina sehingga mengundang kecaman ramai.

“Siapa YouTuber ini? Adakah dia mempunyai kelayakan mengkritik filem? Jika dia pengkritik berkelayakan dan ada ilmu perfileman, saya mungkin boleh mempertimbangkan kritikan diberikan.

“Tapi lontaran bahasanya bukan cerdik pandai seperti pengkritik filem. Jadi, saya dan (pengarah) CL Hor juga mempunyai hak mempertahankan maruah dan karya dihasilkan.

“Saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan saman. Tunggu surat saman akan sampai tak lama lagi,” katanya.

Saraleana (kanan) bersama pengarah CL Hor (bertopi)

Saraleana yang juga penerbit eksekutif Gadis Jolobu The Movie berkata dia sedar kemunculan platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan Instagram membolehkan sesiapa saja membuat ulasan, sekali gus menjadi pengkritik filem.

Namun, katanya, cara YouTuber itu salah kerana apa yang ditulis adalah fitnah semata-mata.

Tambahnya, penggunaan bahasa kurang adab bagi menarik perhatian juga bukanlah suatu cara yang baik.

Tak ada unsur lucah

Menurutnya, kritikan harus diberikan menggunakan bahasa yang sesuai mengikut etika agar tidak menyinggung perasaan sesiapa, terutama penerbit yang mengeluarkan peruntukan berjuta-juta untuk menghasilkan sesebuah karya.

“Nak kritik biarlah ada ilmu filem, bukan berdasarkan serangan peribadi.

“Saya mungkin penerbit baru, tapi saya tak terasa disebabkan mempunyai sokongan kuat. Cuma, saya risaukan penerbit baru lain yang mungkin tiada sokongan seperti saya.

“Saya percaya pasti ada yang luntur semangat apabila filem mereka jadi mangsa kritikan. Adakah YouTuber ni layak mengkritik filem dengan bahasa tidak beradab seperti ini?” soalnya.

Terdahulu, seorang YouTuber terbabit melabelkan naskhah tersebut sebagai tidak bernilai sama sekali, selain cerita tiada plot, mempunyai lawak berunsur lucah serta ia kewajaran ia dihasilkan dalam bentuk muzikal.

YouTuber terbabit turut mencadangkan agar pengarah dan penerbit berhenti menghasilkan filem kerana ia suatu pembaziran.

Saraleana berkata, dia optimis selepas menerima komen positif daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang mencemar duli menghadiri tayangan filem Gadis Jolobu The Movie bersama barisan pelakon di GSC Pall Mall, Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin.

Pada masa sama, Saraleana menafikan komen YouTuber terbabit yang didakwanya memaparkan adegan lucah.

Katanya, sekiranya benar dakwaan itu, sudah pasti Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak membenarkan filem berkenaan ditayangkan sejak 4 Ogos.

“Jika ada elemen lucah, seksi atau sebagainya, sudah tentu ia tak dilepaskan LPF. Sekarang ini ia ditayangkan, bermaksud tiada adegan sebegitu dalam filem ini,” jelasnya.

Mengenai dakwaan poster Gadis Jolobu The Movie meniru poster filem Hollywood, Neighbors 2: Sorority Rising, Saraleana berkata ia adalah kerja kreatif dan bukan ciplak.

“Jika meniru, sudah pasti timbul masalah hak cipta. Ada juga pengarah mengambil inspirasi dari filem lain, tapi bukannya meniru,” katanya.