Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Jujurlah menyampaikan surah sejarah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Semua manusia sememangnya mempunyai keinginan dan nafsu untuk berbuat celaka. Cuma apa yang membezakan mereka ialah, setiap seorang menunggu-nunggu saat yang sesuai sahaja untuk melaksanakannya.

Kenyataan inilah yang menjadi latar kepada sebuah cerita manusia dalam masa tiga hari konsert yang sepatutnya meraikan kebebasan fikiran, keamanan dunia dan cinta sesama manusia untuk berubah menjadi liar lagi gila.

Sebagai lelaki Melayu yang dipaksa menerima sahaja 'fakta' dalam filem tentang Mat Kilau dengan alasan ia hanyalah filem fiksyen, aku berasa sangat wajar untuk kita menonton pula dokumentari yang menjadi subjek tulisan ini, iaitu siri Trainwreck: Woodstock '99 yang sedang ditayangkan di Netflix.

Sungguhpun begitu perlu diakui kaedah pembikinan dan pendekatan kesenian sebuah filem cereka - seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan - dan filem bukan cereka - seperti Trainwreck: Woodstock '99 - tidak boleh menjadi sama.

Malah cubaan untuk membandingkan kedua-duanya dalam tulisan ini pun boleh dianggap sebagai ‘gila’.

Tapi aku tetap berasa ia perlu dituliskan juga, kerana Melayu sering menganga mulutnya untuk disuap dengan apa saja waima pemesongan fakta yang mengkhayalkan atas semangat bangsa yang belum tentu sahihnya.

Sebagai nota, kedua-dua kisah itu yakni filem Mat Kilau dan dokumentari Trainwreck: Woodstock '99 adalah bersumber dan berlatarbelakangkan sesuatu yang nyata.

Ia adalah sebuah realiti yang akan selamanya tercatat dalam buku sejarah dan tersimpan atas gerobok pembinaan generasi bangsa kedua-dua buah negara, Malaysia dan AS.

Namun apa yang membezakan filem fiksyen Mat Kilau dengan Trainwreck: Woodstock '99 itu ialah kejujuran dalam menyampaikan peristiwa sejarah mereka.

Pengalaman peribadi peserta

Kebanyakan kita memang maklum tentang Woodstock pada 15 hingga 18 Ogos 1969 itu sebagai sebuah pesta muzik raksasa yang mengumpulkan ribuan manusia.

Woodstock 1969 menghimpunkan pemuzik terbaik dunia seperti Jimi Hendrix, Ravi Shankar, The Who, Joan Baez, Janis Joplin dan Santana merupakan perhimpunan agung para pencinta muzik seluruh dunia.

Festival tiga hari yang mempunyai matlamat dan cita-cita untuk mempromosikan fitrah semulajadi manusia yang mahu kepada keamanan. Mereka mahu melihat dunia yang bebas daripada segala jenis perang, dan pada masa sama memartabatkan cinta.

Dunia tertanya-tanya bagaimana Woodstock 1969 itu melakukannya dengan penuh aman, sejahtera dan berjaya.  

Hal inilah yang dikorek dari laci setiap watak yang ditemu duga dalam dokumentari berkenaan. Pengalaman peribadi mereka sebagai wartawan, penonton, kru produksi, paramedik, pengawal keselamatan, penganjur malah pengasasnya digeledah dari hati masing-masing.

Kisah-kisah itu kemudian dicantum dan diserakkan melalui Trainwreck: Woodstock '99 melalui tiga episod untuk tontonan kita. Dokumentari itu sebetulnya hanya memanjangkan pertanyaan yang sudahpun kita semua tahu iaitu "mengapa dan bagaimana festival muzik yang membawa mesej aman dan cinta akhirnya menjadi tragedi ngeri yang penuh huru-hara".

Sebelum Woodstock 1999, penganjur yang sama telahpun menganjurkan Woodstock 1994 yang mereka percaya berjaya dan memberikan persembahan muzik hebat.

Cuma dalam Woodstock 1994 itu mereka menanggung kerugian teruk. Justeru biar apa cara dan alasan sekalipun, penganjur mahu memastikan Woodstock 1999 bukan sahaja melakar sejarah muzik memasuki era milenial, malah yang lebih penting, mereka mahu pastikan ia menguntungkan.

Dibayangi skandal Clinton

Justeru mereka menjaja legasi Woodstock 1969 untuk dijual. Di sana ada kebebasan menikmati arak sepanjang hari tanpa kawalan. Juga urusan jual beli dan pengambilan dadah sepanjang masa tanpa pengawasan.

Kemudian ada lelaki dan wanita bertelanjang berseronok di sepanjang pesta.

Dalam erti kata lain mereka mahu menyatukan elemen nilai yang ada pada Woodstock 1969 ke dalam Woodstock 1999.

Namun hakikatnya kedua-dua Woodstock itu adalah zaman yang berbeza dan ia lahir daripada idea yang naif seorang dua manusia.

Woodstock 1999 berlangsung dengan dilatari skandal seks Bill Clinton - Monica Lewinski, serta kejadian tembakan di Sekolah Tinggi Columbine. Ia dibayangi banyak tema rangsangan seksual kelelakian, kebencian pada konsumerisme dan aksi keganasan yang diterbitkan dalam bentuk muzik dan filem-filem AS.

Berbeza dengan Woodstock 1969 yang dilatari ketenangan muzik.

Woodstock 1999 juga membariskan kumpulan dan genre muzik keras seperti Korn, Metalica, Offspring, Kid Rock, Limp Bizkit, Rage Against The Machine dan juga Red Hot Chili Pappers yang memiliki banyak elemen kemarahan.

Oleh kerana Woodstock 1999 mahu membuat keuntungan secara besar-besaran, mereka memotong sebanyak mungkin belanjawan seharusnya lebih mereka utamakan.

Menyemarakkan kemarahan

Justeru selain makanan dan minuman yang dijual terlalu mahal, keadaan kebersihan seperti sampah dan kumbahan juga tidak diselia dengan elok. Lebih memburukkan keadaan Woodstock 1999 kurang persediaan paramedik.

Dan sememangnya sejak awal penganjur juga enggan menyediakan pengawal keselamatan terlatih di lapangan.

Kisah kereta api karam dalam siri Trainwreck: Woodstock ‘99 adalah cerita tentang bagaimana sebuah slogan yang kononnya antibudaya persaingan yang mengangkat cinta dan kasih sayang.

Akhirnya acara itu terisi dengan pengabaian penghormatan kepada persekitaran, kepada wanita dan - yang paling utama - membangsatkan hadirin yang ada kerana penganjur hanya mahukan keuntungan luar biasa.

Hal itulah yang menjadi api, yang meninggikan suhu kemarahan dan menyemarakkan kebencian.

Pembikin mana-mana filem dokumentari seperti mana pembikin filem cereka boleh sahaja memesongkan fakta dan menyembunyikan hakikat. Tapi hal sebegitu jarang dilakukan mereka.

Justeru muzik, lagu atau kumpulan kegemaran kita mungkin saja menjadi sebab untuk manusia menemui masa yang dirasakan tepat untuk berbuat celaka.

Dokumentari itu menarik kerana ia tidak menyembunyikan apa-apa daripada masyarakatnya. Ia tidak ragu atau malu-malu untuk berkata: "Ini semua adalah salah kita, sebenarnya."

Ia jujur dalam bercerita, kerana pembikin filem bukan Melayu di AS selalu tahu bahawa berlaku jujur itu adalah keberanian paling tulen.

Dari kejujuran itulah kebenaran dapat diselak dan diangkat untuk mengajar mana satu fakta, mana satu auta. Mengkhayalkan bangsa dan negara dengan mengherotkan sejarah hanya akan menjahanamkan anak bangsa.


HARIS HAUZAH ialah seorang lelaki Melayu yang gemar menonton filem cinta dan mendengar lagu kecewa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.