Skip to main
Logo Malaysiakini

Elyana takkan jelaskan alasan tinggalkan tudung

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sudah difikirkan semasak-masaknya, itu kata penyanyi Elyana Emrizal apabila dia membuat keputusan tidak lagi mahu memakai tudung seperti yang dilakukan sebelum ini.

Dia yang juga seorang pelakon berkata, dia sudah bersedia menanggung segala kesan baik dan buruk daripada tindakannya itu.

“Inilah saya. Terima kasih kepada semua yang mendoakan selama ni.

“Jika anda masih lagi mahu mendoakan saya, saya harap doa yang baik itu berbalik kepada anda.

“Jika anda boleh terima diri saya, alhamdulillah. Jika tak boleh, saya tak dapat berbuat apa-apa kerana inilah saya,” katanya kepada petugas media hari ini.

Penyanyi Tak Tercapai Akalmu itu berkata, dia juga enggan mengambil pusing kecaman pengguna alam maya terhadapnya.

Malah menurut Elyana, tiada keperluan untuk dia menerangkan kepada golongan berkenaan kerana yakin mereka tidak akan memahami serta sentiasa memandang negatif setiap tindak-tanduknya.

“Selagi saya menjelaskan, selagi itulah macam-macam cerita yang tak masuk akal akan timbul.

“Demi menjaga tatasusila, jiwa, dan persekitaran saya, saya mengambil keputusan untuk tidak menerangkan apa-apa kepada mereka yang langsung tak mahu memahami,” katanya.

Elyana memberitahu dia sebenarnya sudah penat menjaga hati orang lain dan kini ingin lebih fokus terhadap perasaan dan jiwa sendiri.

Dia yang juga penyanyi Diriku Tapak Sulaiman berkata, dalam hidupnya dia tidak pernah berasa menyesal.

“Cuma apa yang boleh saya katakan, setiap hari saya impikan kehidupan yang baik untuk jiwa saya.

“Sebelum ni saya hanya pentingkan jiwa dan hati orang sehinggakan saya terlupa tentang diri saya.

“Jadi, sekarang ini saya akan buat apa yang saya terfikir nak buat,” katanya.