Skip to main
Logo Malaysiakini

Ingatan pada mati buat Nora Danish tulis wasiat untuk anak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gara-gara sering berfikir berlebihan, Nora Danish berkata, ketakutannya kepada kematian membuat dia mahu bersedia dengan segala kemungkinan, justeru dia menulis wasiat kepada anak-anaknya.

Pelakon itu juga tidak menafikan, situasi tersebut berlaku ekoran dia diserang kebimbangan melampau (anxiety).

Katanya buat masa ini dia tidak menjalani sebarang rawatan sebaliknya membanyakkan pembacaan bagi mencari jalan terbaik menangani isu itu.

“Tangan saya jadi sejuk sebab saya fikir macam-macam pasal anak, itu yang saya terus buat wasiat dan apa-apa yang patut," katanya.

Pun begitu Nora Danish berkata pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang terlalu lama juga mungkin menyumbang kepada perasaan yang dialaminya sekarang.

"Apabila dah lama tak ke mana-mana, mulalah kepala fikir bukan-bukan,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon berusia 40 tahun itu mengakui masalah dialaminya itu bukanlah berpunca daripada faktor sekeliling, sebaliknya berlaku seiring dengan peningkatan usia.

Komen-komen netizen di media sosial juga, katanya, diyakini tidak menyumbang kepada masalah tersebut.

"Ia lebih kepada usia yang semakin meningkat membuat saya lebih takut kepada kematian.

“Tambahan pula saya seorang yang sangat beremosi, sikit-sikit sensitif, dua perkara ni yang menjurus pada overthinking,” ujarnya yang ditemui selepas pratonton telefilem terbaru lakonannya, Kan Cheong, di Petaling Jaya semalam.

Ubah cara berfikir

Naskhah arahan Noor Azlan Shah itu mengangkat tema kesihatan mental untuk diketengahkan dan dijadual menemui penonton melalui Astro First mulai esok.

Ia berkisahkan wanita bernama Ayu yang tinggal bersendirian dan mengalami kebimbangan apabila mendengar laporan berita mengenai empat pesakit mental melarikan diri dari hospital.

Dalam suasana gelap malam dan hujan, muncul dua lelaki tidak dikenali di rumah Ayu.

Sejak itu berlaku beberapa kejadian misteri seperti matinya kucing peliharaan Ayu, serta kabel telefon di rumahnya dipotong.

Mengulas isu kesihatan mental, Nora berkata, banyak keburukan yang timbul sekiranya seseorang itu berfikir secara berlebihan serta tidak merawat kebimbangan itu dengan segera.

Menurutnya, masalah itu boleh bertambah buruk sekiranya tidak diatasi.

“Apabila boleh mengubah cara berfikir ke arah sesuatu yang positif, ia sekali gus membuatkan saya lebih menghargai orang di sekeliling.

“Seelok-eloknya kita jangan asyik bercakap soal keburukan tapi tukar berfikir perkara yang positif, insya-Allah akan membantu,” katanya.