Skip to main
Logo Malaysiakini

Niezam bersyukur iman masih teguh ketika perasaan tertekan teruk

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Walaupun pahit untuk ditelan, Niezam Zaidi menyifatkan isu dia terpalit dengan kontroversi dadah ibarat 'ubat' yang membuat dia lebih berazam untuk menabur bakti kepada kedua-dua orang tuanya.

Menurut pelakon itu, keluarga menjadi antara tempat dia mengadu nasib serta mengumpul semula kekuatan diri yang hampir musnah.

Kata Niezam, pelbagai tohmahan dan kritikan daripada orang ramai juga mengakibatkan dia mengalami tekanan perasaan yang kronik.

“Komen-komen itu menyebabkan gangguan mental,” luahnya.

Namun, Niezam 29, bersyukur apabila imannya masih teguh walaupun sewaktu emosinya terganggu teruk.

Jika tidak, tambahnya, mungkin dia akan terlanjur dalam mengambil tindakan gara-gara gagal mengawal emosi dan tekanan dihadapi ketika itu.

“Kalau bukan Islam, mungkin saya dah jadi gila atau pun bunuh diri. Minta maaf saya cakap…" katanya.

Tambah Niezam kata-kata yang dihamburkan serta komen tidak membina itu memang memberi kesan kepada mental.

“Justeru, saya ambil nasihat rakan yang berkata: selagi hidup, selagi itulah kita kena berjasa kepada-dua kedua ibu bapa,” jelasnya yang ditemui selepas majlis pratonton telefilem terbaru lakonannya berjudul Kan Cheong di Petaling Jaya kelmarin.

Filem arahan Noor Azlan Shah itu mengangkat tema kesihatan mental untuk diketengahkan dan dijadual menemui penonton melalui Astro First mulai hari ini.

Untuk rekod, Niezam didenda RM4,000 atau penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah di mahkamah pada 10 Jan lalu atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah ke badan.

Kejadian itu berlaku Okt tahun lalu.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari turut memerintahkan Niezam - atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd Zaidi - menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun.

Bimbang tekanan bertambah

Bagi Niezam, sebab itulah perlu berhijrah semula ke kampung agar dia sentiasa beringat dan menjauhi perkara tidak baik.

Menguatkan alasan itu, katanya, apabila dia teringat bapanya yang sudah tua dan terpaksa ke Kuala Kangsar untuk membantu dia di mahkamah.

“Papa saya yang dah berusia 60 tahun datang ke sana untuk bantu selesaikan kes saya.

“Apa pun yang berlaku dalam hidup kita, jangan tinggalkan keluarga.

“Jadi saya fikir, memang wajar pulang ke kampung memandangkan ibu alami sakit tiga serangkai, bapa pun dah tua,” tuturnya.

Berkongsi lanjut, Niezam berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu dikenali dengan cerita kontroversi sebaliknya cukup dengan kerjaya dan prestasi yang cemerlang.

Walaupun dimaklumkan oleh sebuah stesen televisyen bahawa namanya tidak diharamkan untuk bekerja, dia tetap mempunyai kesukaran untuk bangkit semula daripada kejatuhan itu.

“Memang saya perlu berusaha untuk bangun balik.

“Kena ada sistem sokongan (daripada ibu bapa). Selain tu, saya juga tak babitkan diri sangat dengan media sosial takut menambah tekanan,” luahnya.