Skip to main
Logo Malaysiakini

Penyanyi Goyang Dumang hairan disebut 'berhijrah' lepas bertudung

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi dangdut Indonesia, Cita Citata, mengakui dia keberatan apabila perubahan imejnya - daripada tidak bertudung kepada memakai penutup kepala - yang dilakukan baru-baru ini disebut sebagai ‘hijrah.’

Penyanyi Sakitnya Tuh Di Sini meluahkan kehairanannya mengapa apabila seseorang wanita mula memakai tudung maka mereka digelar sudah berhijrah.

Penyanyi yang turut terkenal dengan lagu Perawan Atau Janda itu kemudian menjelaskan pengertian hijrah pada pandangannya.

“Kenapa ya orang bertudung disebut hijrah? Perlu kita ketahui makna hijrah yang sebenarnya.

“Secara umum pengertian hijrah adalah berpindah atau menyingkirkan untuk sementara waktu dari suatu tempat ke tempat lain yang lebih baik dengan alasan tertentu, baik itu untuk keselamatan, kebaikan dan sebagainya,” katanya dipetik Detik.

Keputusan Cita Citata berhijab dikatakan berlaku disebabkan dia kini menjalin hubungan romantis dengan seroang ahli politik Indonesia, Didi Mahardika, yang juga cucu kepada presiden pertama negara itu, Soekarno.

Bagaimanapun, Cita Citata menegaskan bahawa dia memilih untuk bertudung atas kemahuannya sendiri.

Namun, kehadiran bekas isteri Galih Purnama itu didakwa menjadi penyebab runtuhnya mahligai perkahwinan di antara Didi dengan pasangannya Rosmanizar.

Menurut Cita Citata, 27, keputusan berhijab yang diambil seorang wanita Muslim tidak boleh dianggap berhijrah, sebaliknya lebih wajar disebut sebagai perubahan kerana ingin menjadi lebih baik.

“Kita yang memang Muslim tapi kemudian bertudung itu namanya bukan hijrah, tapi berusaha lebih baik kerana menutup aurat satu kewajiban, kan?” soalnya.