Skip to main
Logo Malaysiakini

Konsert Faztifal peluang peminat saksi Fazura menyanyi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Julung kali bertindak selaku penganjur sebuah konsert, Nur Fazura juga bakal menghiburkan peminat-peminatnya di Konsert Faztival Fazura yang dijadual berlangsung pada 11 Sept ini.

Kata pelakon dan penyanyi itu, menambah keterujaannya ialah apabila dia akan berkongsi pentas dengan pengasas kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani serta Ahmad Band.

Turut akan menyerikan konsert di Axiata Arena di Bukit Jalil berkenaan ialah M Nasir.

“Saya sangat bersyukur apabila konsert pertama saya ni akan disertai oleh rakan artis yang sudah lama diminati. Ahmad Dhani juga akan turut serta bersama Ahmad Band.

“M Nasir misalnya, arwah bapa saya peminat penyanyi tu, saya pula sudah terbiasa mendengar lagu-lagunya sejak kecil. Zizi Kirana pula hari-hari, mesti saya akan dengar lagu dia,” ujarnya.

Biarpun Faztival Fazura mencecah peruntukan hingga berjuta ringgit, Nur Fazura berkata dia tetap menjanjikan harga tiket mampu milik untuk para peminatnya.

Katanya, dia tidak mahu ada peminat yang ingin meraikan momen bersejarah itu ketinggalan disebabkan tidak mampu membeli tiket.

“Harga tiket pula mampu milik kerana jenama Fazura sentiasa berpegang pada #miliksemua,” tuturnya.

Faztival Fazura akan turut disertai penyanyi lain seperti Awie, Ella, Ruffedge, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.

Fazura berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman konsert berkenaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Konsert Faztival Fazura dikendalikan oleh Icon Entertainment manakala kaunter jualan tiket akan dibuka pada 19 Ogos ini dengan harga bermula dari RM147.

Mengulas lanjut, dia berkata, penonton akan disajikan dengan beberapa kejutan istimewa semasa konsert nanti.

Jelasnya, dia mengadakan konsert berkenaan untuk menghargai peminat yang sentiasa menyokong karier dan rangkaian produk yang diasaskannya.

“Selain meraikan stokis dan ejen rasmi, Fazura Besties menunjukkan pencapaian yang terbaik dan konsisten sepanjang menjadi wakil jualan produk jenama Fazura.

“Saya juga berharap Faztival Fazura tidak akan berakhir di sini, ia akan diteruskan dan dijadikan sebagai konsert tahunan,” katanya.