Skip to main
Logo Malaysiakini

Aizat dah jadi suami Elyssa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi Aizat Amdan sah bergelar suami kepada pasangannya, Elyssa Alia Illias, dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang berlangsung di A-Park, Puchong, Selangor hari ini.

Mereka dinikahkan bapa pengantin perempuan, Leftenan Kolonel (B) Illias Moideen disaksikan jurunikah, Idrus Mohd Shahlan dengan mas kahwin RM300.

Menurut Aizat, 33, ini adalah permulaan baru buat mereka berdua.

“Dah lama orang tanya saya soalan mengenai jodoh, jadi inilah jodoh saya,” katanya.

Mengulas perancangan berbulan madu, Aizat dan Elyssa berkata, mereka menyimpan hasrat untuk ke Tulum, Mexico.

“Saya ada angan-angan untuk membuka studio di tepi pantai, manakala Elyssa pula ada impian untuk membuka sekolah menyelam serta vila di tepi pantai.

“Insya-Allah, November ni saya akan ke Los Angeles atas urusan kerja dan dah alang-alang, akan ke Tulum untuk bercuti,” katanya dipetik Harian Metro.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah kira-kira 100 tetamu termasuk keluarga, rakan-rakan dan media.

Pihak pengantin lelaki menghantar tiga dulang hantaran, manakala pengantin perempuan membalas dengan lima dulang. Bagaimanapun jumlah wang hantaran itu dirahsiakan.

Untuk rekod, Aizat dan Elyssa yang juga pengurusnya menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun sebelum membuat keputusan untuk berkahwin pada Januari lalu.

Majlis merisik pula dilakukan pada Februari.

Baru-baru ini, Aizat, 33, melancarkan lagu berjudul Hanya Kita Dua buat isterinya pada 3 Ogos lalu.