Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Manifesto Attenborough menyanggah retorik menteri kita

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | “Dahulunya dunia ini amat berbeza. Kita kurang pengetahuan tentang cara dunia ini berkerja. Ia dipanggil sejarah semula jadi kerana ia sememang tentang itu sahaja.”

Pada 1937 - ketika populasi dunia hanya berjumlah 2.3 bilion - jumlah karbon yang terbebas ke dalam udara ialah sekitar 280 bahagian per juta.

Saat itu 66 peratus daripada keluasan dunia masih dilitupi hutan.

Namun itu hanyalah sejarah yang tercatat pada sekitar 85 tahun dulu. Hari ini dunia yang kita diami ternyata berbeza.

Pada 2022 ini boleh jadi akan tercatat sebagai situasi paling tenat untuk dunia disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang celaka. Dan manusia yang celaka itu mungkin saja kita, kerana sekadar membiarkan dunia ditadbir oleh manusia tanpa rasa peduli.

Tulisan ini mengajak untuk kita sama-sama menonton sebuah dokumentari yang dibawa dengan cara sangat politikal. Manifesto yang diisi ke dalam dokumentari David Attenborough itu sangat bermakna kerana ia bercerita tentang kuasa dan persekitaran kita.

Attenborough sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Jika dia lelaki politikus Melayu, Attenborough ialah legenda perjuangan bangsa. Dia sudah pastinya bergelar Tun dan disanjung sebagai nasionalis ulung.

Dengan ‘kuliah’ Attenborough

Malangnya dia bukanlah seorang presiden parti Melayu atau naib presiden sebuah parti lebai yang tidak habis-habis hanya bercakap tentang kuasa dan wayang kononnya tanggungjawab mereka menjaga bangsa.

Attenborough ialah seorang ‘nabi’ dalam dokumentari A Live On Our Planet. Melalui dokumentari itu dia membentangkan manifesto yang seharusnya menarik minat sesiapa saja yang mengaku sebagai penduduk Bumi.

Sudah terlalu lama - atau keterlaluan lama - kita bercerita tentang politik menunggang agama dan memperalatkan bangsa ketika semuanya hanyalah korupsi dan penyalahgunaan kuasa.

Dunia politik kita hanya berkisar tentang siri skandal yang melemaskan, seperti 1MDB dan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) seperti sekarang. Atau sebelum ini kisah membabitkan National Feedlot Corp (NFC), Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan seumpamanya.

Itu belum lagi kisah pegawai tinggi kerajaan yang menggelapkan dana awam, penerimaan 'hadiah' dan sumbangan politik serta yang lain-lain.

Kelumrahan dunia politik dengan skandal serta penyalahgunaan kuasa mewajarkan kita meluangkan sedikit masa menonton 'kuliah' Attenborough dalam A Live On Our Planet.

Dokumentari berdurasi sekitar satu setengah jam itu dibuka dengan satu keanehan. Hal itu kerana visualnya dibuka dengan tempat yang telah diisytiharkan bahaya untuk didiami manusia sejak 26 April 1986 kerana pencemaran nuklear.

Pun begitu ada sebab yang sangat signifikan tentang mengapa dokumentari itu membuka visual dan naratifnya dengan bekas stesen nuklear Chernobyl di Ukraine sana.

Satu lagi hal yang menarik pada pembukaan dokumentari itu ialah penekanan yang cuba Attenborough berikan, iaitu berkenaan ralat, kesilapan serta kegagalan perancangan manusia sehingga mencetuskan bencana alam yang serius.

Kata Attenborough, Chernobyl hanyalah satu peristiwa sahaja.

"Ia tragedi yang sebenar sedang berlaku di serata dunia dan hampir tidak kita disedari kejadiannya setiap hari.

“Saya bercakap tentang kita yang sedang kehilangan hutan kita, yang kehilangan kekayaan biodiversiti dunia," katanya.

Lemahnya rancangan manusia

A Live On Our Planet disabdakan oleh seorang pencerita dari suara Attenborough sendiri. Ia adalah faktor yang amat penting. Suara itulah yang memberikan penonton suatu pengalaman transendental yang sangat objektif, signifikan dan mudah diterima.

“Berbilion makhluk daripada jutaan jenis haiwan dan tumbuhan bersama kepelbagaian yang mengagumkan akan saling bekerjasama untuk memanafaatkan segala hasil mineral serta tenaga matahari.

“Penerusan kehidupan yang saling berkait ini memerlukan kita saling membantu. Kita sepenuhnya bergantung kepada mesin sokongan kehidupan ini," katanya.

Menurut Attenborough lagi, “akan tetapi cara kita hidup di dunia sekarang telah menyebabkan kepelbagaian biologi bumi terjejas dengan teruk.”

Inilah yang menjadi inti pati A Live On Our Planet. Ia digariskan sebagai tanda amaran pada pembukaannya sekali gus menyatakan tentang kepincangan perancangan manusia.

Hal itulah yang telah mengakibatkan Chernobyl berubah menjadi kota bahaya dan wilayah larangan yang langsung tidak boleh didiami lagi.

“Dunia semulajadi semakin pudar. Buktinya ada di merata-rata di sekeliling kita," kata Attenborough.

Dia menyaksikan dengan matanya sendiri perihal bagaimana dunia ini semakin hari semakin tidak boleh dihuni. Justeru baginya filem dokumentari itu adalah kenyataan peribadi.

Ia suatu manifesto yang diisi Attenborough dengan suatu pandangan serta jangkaan masa hadapan.

Apa yang diceritakan Attenborough dalam dokumentari itu jauh lebih penting daripada semua ucapan Menteri Alam Sekitar dan Air di negara bertuah kita ini.

Manifesto Attenborough bukan seperti Amanat Haji Hadi atau manifesto partinya. Manifesto Attenborough bercerita tentang bagaimana kita sudah melakukan kesilapan terbesar pada dunia, serta beberapa usul tentang bagaimana cara ia diperbaiki bersama-sama. 


HARIS HAUZAH ialah pemerhati politik dan penikmat pertikaian manusia sepenuh masa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.