Skip to main
Logo Malaysiakini

Ning tak goyah dikecam, rancang hadirkan konsert tahun depan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menegaskan tidak terkilan kerana dikecam gara-gara sumbang menyampaikan lagu baru-baru ini, Ning Baizura memberitahu dia sedang merancang mengadakan konsert sempena 30 tahun pembabitannya dalam seni tarik suara.

Kata penyanyi itu, konsert berkenaan dijangka akan diadakan tahun depan dan bakal menjadi bukti bahawa semangatnya sedikit pun tidak luntur dek kontroversi.

“Saya gembira dan baik-baik saja, alhamdulillah. Rezeki pun makin bertambah apabila dijemput beberapa penganjur untuk buat persembahan.

“Bayangkan jika 30 tahun berada dalam bidang seni tapi orang tak bercakap pasal kita, tak risau ke? Bagi saya, benda buruk boleh ditukar kepada perkara positif.

“Jadi saya tak akan mengalah, sedikit pun tak terasa sakit, justeru saya bakal hadiahkan peminat dengan suatru konsert sempena 30 tahun sebagai penghibur,” jelasnya.

Bagi Ning Baizura, isu tidak memberikan persembahan terbaik hingga menjadi bahan ejekan netizen ketika menyanyi Awan Yang Terpilu bukanlah isu yang besar buat dirinya.

Selalu terkenang arwah bapa

Menurut Ning Baizura, jika pihak yang mengecam itu mengikuti perjalanan kariernya dari awal, pasti mereka sedia maklum dia sebelum ini pernah terpalit kontroversi lebih besar daripada itu.

“Saya bukan bongkak, tapi mereka yang mengutuk mungkin tak pernah tahu apa saya pernah lalui sebelum ini. Bagi saya, kontroversi pernah dialami dulu lebih teruk.

“Dulu saya fikir, mungkin saya artis yang paling kontroversi. Boleh namakan apa saja, misalnya isu pakaian seksi, ditipu pengurus atau pandai menjawab bila dikecam.

“Jadi, bagi saya, isu dikritik menyanyi sumbang ni seperti main enjit-enjit semut saja,” katanya.

Penyanyi itu juga mengakui hatinya terharu apabila penyanyi lain seperti Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Shila Amzah terus memberikan sokongan untuk kariernya itu.

Ning Baizura berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Wonder Suit by Jovian Mandagie di Tropicana Golf and Resort, Petaling Jaya semalam.

Pemilik nama penuh Ning Baizura Sheikh Hamzah itu adalah antara empat selebriti terkenal terpilih sebagai duta produk tersebut, selain Rozita Che Wan, Ifa Raziah, Sherry Alhadad dan Dolla.

Terdahulu, sebuah klip disunting memaparkan Ning Baizura menyampaikan lagu Awan Yang Terpilu di sebuah lokasi mengundang perhatian umum apabila dia dikatakan gagal menyanyi dengan baik.

Bagaimanapun, Ning Baizura, 47, berkata sejak dulu dia memang berasa sebak apabila menyanyikan lagu berkenaan kerana ia akan mengimbau kenangan bersama arwah bapanya.

Malah dia mengakui hanya mentertawakan pihak mengecamnya yang dianggap masih BBNU (budak baru nak up) dan tidak arif mengenai dunia seni tanah air.

Katanya, disebabkan segelintir BBNU itulah nama netizen lain turut tercemar.

“Tak semua netizen mengecam, ada juga yang berpihak pada saya. Kena 'sekolahkan' sikit BBNU yang tak tahu pasal saya.

“Saya apabila melakukan kesalahan, saya akan mengaku salah. Cuma isu menyanyi sumbang baru-baru ni bukan disebabkan kesalahan tapi ia berlaku secara tak sengaja,” tuturnya.