Skip to main
Logo Malaysiakini

Penerbit Air Force The Movie nafi Han Zalini mangsa pilih kasih

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

"Tiada istilah pilih kasih," kata penerbit Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, Josiah Chieng, selepas ada pelakon tambahan filem itu mendakwa dia dipinggirkan semalam.

Kata Chieng, dia sendiri memang mahu semua pelakon yang terbabit menjayakan filem tersebut hadir bersama-sama pada malam sambutan pelancarannya 22 Ogos nanti.

Chieng berkata demikian susulan kenyataan Han Zalini yang menyatakan rasa terkilan apabila namanya tidak termasuk dalam senarai undangan untuk acara yang dijadual minggu depan.

Jelas Chieng, berlaku salah faham serta masalah teknikal pada saat-saat akhir dalam proses jemputan hingga menyebabkan ia tidak dibuat secara serentak.

“Filem ni berprofil tinggi. Ada beberapa jemputan untuk wakil kerajaan yang memakan masa berhari-hari untuk diselesaikan.

“Justeru, berlaku masalah teknikal pada saat akhir untuk memastikan setiap orang mendapat undangan tepat pada masanya,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Chieng hal itu juga mungkin berlaku disebabkan begitu banyak undangan perlu diselesaikan dalam waktu singkat iaitu untuk kira-kira 800 kru produksi.

Dia juga berkata, walaupun tempat duduk terhad, namun nama Han Zalini sudah termasuk dalam senarai jemputan sejak awal.

“Sebenarnya, semua jemputan berlaku pada saat akhir dan genting ketika ni, jadi mungkin terlepas pandang mengenai isu dibangkitkan Han Zalini.

“Han Zalini memang termasuk dalam senarai jemputan, bukan kami tidak memikirnya dari awal,” ujarnya.

Satu tiket seorang

Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai rasa tidak puas hati Han Zalini gara-gara dia tidak dijemput ke malam tayangan pratonton Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu.

Sebelum itu melalui ciapan dia memberitahu, mungkin namanya tidak semegah barisan pelakon lain, justeru tidak dijemput untuk memeriahkan acara tersebut.

Han Zalini juga berkata, dia rasa terkilan kerana ingin menghadiri majlis itu bagi meraikan usahanya serta mengerakkan momentum dirinya sebagai pelakon baru.

Chieng juga berpendapat, mungkin ada sebab lain Han Zalini membangkitkan isu berkenaan.

Jelasnya, dari awal dia sudah memaklumkan semua kru serta pelakon utama bahawa mereka akan diberikan satu tiket undangan saja untuk setiap seorang.

Han Zalini

“Apabila jemputan sedia ada sudah terlalu banyak, jadi tempat duduk adalah terhad. Saya juga sudah beritahu perkara ni terlebih awal kepada semua kru.

“Artis utama juga hanya terima satu tiket dan anda (wartawan) boleh hubungi mereka untuk mendapatkan kepastian,” katanya.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang mendapat arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See itu dijadual menjengah layar perak di seluruh tanah air pada 25 Ogos ini.

Ia berkisahkan Pasukan Khas Udara (Paskau) yang terkandas di Namburi selepas kapal terbang mereka ditembak.

Kisah bergenre aksi, tentera dan patriotik itu turut dijayakan pelakon seperti Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Scha Alyahya, Azira Syafinaz dan Carmen Soo.