Skip to main
Logo Malaysiakini

Penerbit Gadis Jolobu The Movie tuntut keadilan bukan sebab ‘koyak’

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penerbit Gadis Jolobu The Movie mengesahkan dia telah menyerahkan surat tuntutan (letter of demand, LOD) kepada YouTuber yang didakwa memfitnah filem tersebut pada 11 Ogos lalu.

Saraleana Nattaya Azmi yang juga pengasas bersama Zebra Studio berkata, pihaknya kini menunggu proses perundangan seterusnya selepas menerima surat balasan daripada peguam YouTuber berkenaan.

“Kami memandang serius tuduhan dilemparkan oleh YouTuber terbabit yang jelas memfitnah kandungan filem Gadis Jolobu apabila mengaitkan karya kami dengan unsur lucah serta memburukkan budaya Minangkabau.

“Tuduhan terbabit nyata menghentam dan bukan mengkritik secara konstruktif. Jika memberi ulasan secara membina dan ilmiah, kami boleh terima, tiada masalah.

“Peguam sudah memaklumkan sudah menerima surat balasan pada 17 Ogos lalu. Kini, kami hanya menunggu tindakan selanjutnya daripada peguam masing-masing,” katanya ketika ditemui di sidang media khas di ibu kota semalam.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan seorang YouTuber memuat naik komen yang didakwa menghina dengan menyifatkan Gadis Jolobu arahan CL Hor itu sebuah karya ‘infinity shit.’

Selain itu, YouTuber terbabit juga didakwa memfitnah filem berkenaan memaparkan unsur lucah.

Saraleana dalam kenyataan ketika itu berkata tindakan undang-undang akan diambil susulan tindakan YouTuber terbabit melabel filem berkenaan dengan perkataan yang menghina sehingga mengundang kecaman ramai.

Gadis Jolobu, projek terbitan Tremendous Entertainment dan Zebra Studio diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Hattan, Khir Rahman, Joey Daud dan bintang baru, Ahirine Ahirudin telah menjengah layar perak pada 4 Ogos lalu.

Pada masa sama, Saraleana berkata, dia menafikan dirinya tidak boleh menerima kritikan atau ‘koyak,’ sebaliknya hanya ingin menuntut keadilan.

“Jika filem Gadis Jolobu berunsur lucah dan merosakkan adat Minangkabau, sudah tentu tak melepasi tapisan Lembaga Penapis Filem (LPF) yang mendapat PG13.

“Saya sedia maklum ada beberapa penerbit mengadu mengenai YouTuber berkenaan, tapi tak memanjangkan isu ke peringkat undang-undang.

“Saya tak ‘koyak’, tapi apa yang dilakukan lebih kepada memikirkan keadilan dan nasib penerbit baru lain sekiranya perkara sama berlaku kepada mereka.

“Sekiranya apa yang saya lakukan ni boleh membantu industri, saya akan terus cuba berjuang,” katanya lagi.

Tambah Saraleana, tindakan undang-undang itu bukan kerana kutipan Gadis Jolobu The Movie terjejas memandangkan pihaknya menyasarkan untuk membawa karya itu ke pasaran antarabangsa.

“Bercakap soal kutipan, kami memang tak fokus kutipan di Malaysia semata-mata.

Gadis Jolobu The Movie lebih tertumpu ke pasaran antarabangsa seperti China, Filipina, Indonesia, Brunei dan Thailand.

“Lagipun penonton tempatan belum sepenuhnya ke panggung. Jadi jangan samakan karya kami dengan kutipan Mat Kilau yang lebih sensasi,” katanya.

CL Hor

Pada masa sama, pengarah, CL Hor berkata filem itu boleh ditonton di platform Over-The-Top (OTT), Get Play bermula 26 Ogos ini.

“Get Play adalah konsep terbaru yang membolehkan penonton membayar setiap kandungan seolah-olah membeli tiket di panggung wayang.

“Secara ringkasnya, Get Play turut berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan dan mengembangkan karya tempatan ke seluruh dunia.

“Sebagai permulaan, setiap RM1 langganan akan disalurkan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan sempena Bulan Kemerdekaan,” katanya.