Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahmad Idham tinggalkan Bersatu, dakwa banyak 'hanky-panky'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penerbit dan pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri dilaporkan keluar Bersatu dengan mendakwa banyak ‘hanky-panky’ (perkara tak wajar), selain janji yang tidak dikota sepanjang bersama parti itu.

“Sudah tiada lagi (bersama Bersatu). Masalah banyak hanky-panky, ada ‘mainan’ ketua bahagian yang tidak senang dengan saya, ada juga janji yang saya tidak dapat," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Ahmad Idham juga berkata dia sebelum ini hanya berperanan sebagai ahli parti biasa dan tidak memegang jawatan ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay, Bahagian Ampang seperti dilaporkan.

“Saya hanya ahli biasa. Pasal jawatan sebagai ketua cawangan, itu mereka (parti) yang cakap, tetapi buat tidak tahu. Dokumen pun tiada,” kata bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu.

Ahmad Idham menyertai Bersatu pada April lalu dan dilantik sebagai Ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay dengan matlamat mempertingkat pembangunan dan kesedaran terhadap hab pendidikan khas untuk golongan anak istimewa.

Pada Nov 2021, pengarah filem Hantu Bonceng itu dilantik sebagai setiausaha kebudayaan, Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra.

Bagaimanapun, hanya lima bulan selepas pelantikan itu, khidmatnya ditamatkan menerusi surat bertarikh 23 Feb.