Skip to main
Logo Malaysiakini

FFM32 perkenal 3 kategori baru

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan tiga kategori baru dalam anugerah Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang bakal berlangsung 2 Disember depan.

Pengerusi FFM32 Md Nasir Ibrahim berkata, dalam edisi kali ini, Finas memperkenalkan Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik untuk menggalakkan pengarah filem tempatan mencapai mutu dan standard tinggi seperti filem luar negara.

“Sudah sampai masanya industri hiburan tanah air mengantarabangsakan filem festival tempatan.

“Selama 30 tahun kita meraikan festival filem bertaraf nasional, jadi saya rasa sudah sampai masanya kita juga ada filem festival peringkat antarabangsa.

“Dengan cara ini kita dapat capai satu penanda aras antara filem tempatan dengan antarabangsa secara relatif,” katanya.

Md Nasir yang juga ketua eksekutif Finas berkata pihaknya menyasarkan 10 negara akan mengambil bahagian dalam kategori tersebut.

Setakat ini, katanya lagi, FFM32 telah menerima maklum balas dari India, Pakistan, Singapura, Indonesia dan Thailand.

“Kategori ini akan melibatkan penyertaan daripada juri antarabangsa dan juri tempatan yang berkelayakan dan berkaliber,” katanya.

Md Nasir berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran FFM32 di Royal Selangor International, Kuala Lumpur hari ini.

Md Nasir Ibrahim

Pada masa sama, Md Nasir turut memperkenalkan Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman untuk pentas berprestij berkenaan.

Menurutnya, ia sebagai usaha industri mengiktiraf pelakon yang banyak memberi sumbangan dalam konteks perkembangan industri filem negara.

“Ia juga satu usaha untuk mengiktiraf mereka yang dianggap signifikan dalam konteks perkembangan industri filem negara,” jelasnya.

Selain itu, satu lagi kategori baru yang diperkenalkan adalah Anugerah Filem Pendek Terbaik.

Pencalonan FFM32 dibuka mulai hari ini hingga 30 Sept depan dengan menampilkan 22 kategori dan sembilan anugerah.

Syarat untuk sesebuah filem menyertai pertandingan ini adalah ditayangkan sama ada di pawagam atau Astro First.

Bertemakan Filem Kita, Citra Kita, FFM32 adalah sebahagian daripada usaha kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk memperkasakan industri perfileman negara.