Skip to main
Logo Malaysiakini

Amy kini bergelar Datuk

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Vokalis kumpulan Search, Amy, kini bergelar Datuk selepas dia menerima pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) sempena hari jadi ke-73 Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Mohd Rustam hari ini.

Amy menjadi satu-satunya anak seni yang disenaraikan untuk menerima pingat tersebut kali ini.

Berita itu dikongsikan oleh isteri Amy, Norhasniza Hassan, di Instagram. Dia memuat naik gambar mereka berdua sewaktu hadir di Istana Melaka.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Melaka itu berlangsung di Dewan Istiadat Seri Negeri, di Ayer Keroh.

Dalam pengurniaan tersebut, seramai 883 individu menerima anugerah didahului Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, yang dikurniakan gelaran Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM), membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Darjah Kebesaran Melaka diberikan kepada kakitangan awam negeri dan persekutuan, ahli politik, tokoh korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal media massa dan ahli-ahli badan sukarelawan.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman kemudian mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Ali sambil melahirkan rasa syukur atas kurniaan yang diterimanya selepas 42 tahun menjadi anak seni.

Katanya, gelaran itu tidak akan mengubah dirinya.