Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda PAS bantah di seluruh negara jika k'jaan tak batalkan konsert

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemuda PAS hari ini memberi amaran untuk menggerakkan bantahan "di seluruh negara" jika kerajaan kekal dengan keputusan membenarkan konsert diadakan.

Memberikan justifikasi atas bantahan itu, ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata antara sebab mengapa siri konsert itu tidak wajar dibenarkan ialah kerana masa yang tidak sesuai.

Selain itu katanya konsert tersebut juga tidak membawa sebarang nilai yang bersesuaian, serta bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan.

Justeru kata Ahmad Fadhli, Pemuda PAS sangat berharap menteri yang berkenaan dapat menimbang cadangan mereka agar kebenaran yang diberikan kepada konsert tersebut dibatalkan.

"Masa yang tidak sesuai, nilai yang dibawa tidak bersesuaian dan bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan.

"Pihak kami tidak teragak-agak untuk menggerakkan tentangan di seluruh negara jika ia tidak diendahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah ahli parlimen Pasir Mas itu lagi, Pemuda PAS menggesa NGO dan individu yang prihatin kepada isu itu untuk "bangkit" bersama mereka menghalang penularan budaya hedonisme.

"Mohon gerakkan usaha bantahan ini agar ia sampai ke Seri Perdana di Putrajaya," katanya merujuk kepada kediaman rasmi perdana menteri.

Gesaan itu dikeluarkan genap seminggu selepas penyanyi terkenal AS, Billie Eilish, mengadakan persembahan di Kuala Lumpur.

Suarakan bantahan judi

Sebelum ini Ahmad Fadhli sendiri sudah mengeluarkan rasa tidak senangnya ke atas konsert tersebut. Ia dibuat lebih 12 jam selepas konsert berlangsung.

Mengikut maklumat yang tular, selepas ini ada beberapa lagi konsert yang dijadual berlangsung di negara ini. Antaranya ialah kumpulan Justi Bieber, Dewa19, dan Blackpink.

Untuk rekod kenyataan Ahmad Fadli hari ini bukanlah kali pertama dia memberi amaran sejak PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Malaysia.

Pada 28 Sept lalu dia menjanjikan "tentangan lebih hebat" jika kerajaan tidak membatalkan kebenaran cabutan khas 22 kali setahun kepada setiap agensi ramalan nombor ekod di negara ini.

Katanya, tentangan lebih hebat tersebut akan dilakukan sama ada di dalam atau di luar Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan hari ini Ahmad Fadhli berkata PAS melalui wakilnya yang ada dalam kabinet akan memainkan peranan untuk "memastikan" konsert daripada artis antarabangsa akan dibatalkan.

Pada masa sama dia juga membayangkan akan ada pihak yang tidak bersetuju dengan kemahuan PAS.

"Jika ada saudara-saudara seagama yang berperanan sebagai penghalang usaha ini - baik dengan tindakan mahupun dengan kata-kata - doakanlah mereka mendapat hidayah," katanya.