Beto harap konflik Adi Putra, penerbit selesai secara baik
Setiap pemain industri hiburan tanah air dinasihat agar menjaga hubungan sesama sendiri dengan baik serta menjernihkan suasana sekiranya berlaku salah faham, kata Beto Kusyairy.
Menurut pelakon itu, apabila timbul suasana tegang, pihak yang terbabit wajar tidak mengeruhkan lagi keadaan.
“Bagi saya, bila dah keruh, jangan keruhkan lagi suasana tu. Kita harus jernihkan (sebab) apabila kita pusing-pusing dalam industri nanti, kita akan bertemu orang sama juga,” ujarnya.
Beto berkata, biar apa jua masalah dalaman yang timbul, kedua-dua pihak wajar mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
“Mudah-mudahan ada penyelesaian dan kejernihan yang terbaik,” ujarnya.
Beto sebelum itu ditanya mengenai konflik di antara bintang utama Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, iaitu Adi Putra dengan penerbit filem tersebut, Studio Kembara Sdn Bhd.
Isu timbul selepas Adi mendakwa dia gagal menghubungi Studio Kembara.
Beto, 42, merupakan salah seorang daripada pelakon filem arahan Syamsul Yusof dan memegang watak sebagai Wahid.
Dia ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Anak Rimau The Movie, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.
Adi ketika ditemui baru-baru ini mendakwa hanya selepas dia memuat naik status berhubung isu dihadapinya di media sosial barulah Studio Kembara menghubunginya.
Ada komitmen lain
Bagaimanapun, Adi berkata, dia memilih untuk tidak menjawab kesemua 11 panggilan yang dibuat pihak terbabit disebabkan masih rasa terkilan dengan cara mereka mengendalikan rasa tidak puas hatinya.
Pada masa sama, Adi, 41, juga memberitahu dia memperteguh pendiriannya sebelum ini untuk tidak menghadiri Malam Gala Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia esok, kecuali mendapat jemputan daripada penganjur di negara itu.
Turut dikatakan menerima tempias adalah seorang lagi pelakon, Johan As’asri selepas meninggalkan kenyataan dalam ruang komen pada hantaran dibuat Adi itu.
Johan mendakwa, namanya tiba-tiba digugurkan daripada senarai barisan pelakon yang akan dibawa untuk ke Jakarta esok.
Ditanya mengenai acara promosi Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Beto berkata, dia sudah menerima jemputan berkenaan namun atas sebab-sebab tertentu, dia tidak dapat menghadirkan diri.
“Saya tak dapat pergi sebab ada urusan lain. Tapi saya memang dapat jemputan cuma komitmen tidak mengizinkan untuk hadir di sana,” jelasnya.
Malaysiakini sudah cuba menghubungi Studio Kembara untuk penjelasan lanjut namun setakat ini belum ada sebarang reaksi diberikan di sebalik kemudahan aplikasi WhatsApp menunjukkan mereka sudah baca pertanyaan yang diberikan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai