Skip to main
Logo Malaysiakini

Gadis Jolobu The Movie tembusi 3 platform OTT gergasi di China

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Filem Gadis Jolobu The Movie melakar sejarah tersendiri apabila pihak penerbit memeterai perjanjian dengan tiga perkhidmatan platform penstriman Over-The-Top (OTT) terbesar di China.

Pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif, Saraleana Nattaya Azmi, berkata kejayaan menembusi pasaran melalui Bestv, Youku dan Yongoo itu dapat mempromosikan filem dan budaya Malaysia ke peringkat global.

“Dalam keadaan industri pawagam yang baru mahu pulih selepas lebih dua tahun terkesan dengan pandemik, sasaran tidak hanya bertumpu dalam negara.

“Jadi, platform OTT di China adalah pilihan terbaik kerana mempunyai liputan lebih meluas berbanding pawagam,” katanya.

Untuk rekod, filem Gadis Jolobu The Movie yang berjaya meraih kutipan sebanyak RM4 juta itu bakal ditayangkan di Thailand, Filipina, Indonesia dan Brunei Darussalam, tidak lama lagi.

Saraleana ditemui pada majlis pelancaran filem Gadis Jolobu The Movie menerusi platform penyiaran digital tele-virtual OTT di Malaysia, Get Play, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Saraleana, China mengehadkan rakyat ke pawagam dan hanya 40 filem antarabangsa dibenarkan ditayangkan dalam tempoh setahun pada musim pandemik.

Justeru katanya, langkah terbaik adalah dengan memilih platform OTT kerana ia juga menjadi trend seluruh dunia.

Selain itu, tambahnya, setiap daerah di China juga mempunyai saluran televisyen (TV) sendiri.

“Jadi, keputusan menayangkan filem Gadis Jolobu The Movie di platform OTT adalah langkah terbaik, buat masa ini,” katanya.

Kagum keindahan Malaysia

Filem Gadis Jolobu The Movie menampilkan pelakon seperti Hattan, Khir Rahman, Joey Daud dan pada masa sama memperkenalkan bakat baru, Ahirine Ahirudin selaku teraju utama.

Saraleana berkata, melalui hasil perbincangan rangkaian OTT, pihaknya mendapat maklum balas positif apabila pembekal OTT merasa kagum dengan keindahan kawasan perkampungan yang ditonjolkan dalam filem Gadis Jolobu The Movie.

Menurutnya, segelintir pembekal OTT tidak menjangka Malaysia mempunyai pemandangan yang indah kerana hanya berpendapat ia sebuah negara moden, membangun dan hanya dikelilingi bangunan pencakar langit seperti KLCC dan Menara Kuala Lumpur.

“Di China banyak kawasan kampung, namun, pembekal OTT cukup kagum dengan keindahan kampung, budaya dan tradisi di Malaysia selepas menonton pelan pemasaran filem.

“Tarikan filem Gadis Jolobu The Movie lebih kepada sinematografi. Disebabkan itu, kami tidak memaparkan jalan cerita berat, malah, penggunaan dialek Negeri Sembilan dan adat juga tida ditonjolkan terlalu banyak kerana enggan penonton luar keliru.

“Bagaimanapun, saya mengakui proses memasukkan sari kata agak mencabar kerana penggunaan dialek Negeri Sembilan dalam filem,” jelasnya.

Kata Saraleana, filem Gadis Jolobu The Movie kini boleh ditonton menerusi platform Get Play bermula 26 Ogos ini. Tawaran istimewa diberikan kepada pengguna platform Get Play antara 26 Ogos hingga 8 September ini.

Mengulas mengenai platform Get Play berkonsep baru, Saraleana berkata, penonton hanya membayar setiap kandungan seperti membeli tiket di pawagam.

“Setiap RM1 langganan akan disalurkan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan sempena Bulan Kemerdekaan sebagai inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.