Skip to main
Logo Malaysiakini

Ipoh berpotensi jadi pusat perusahaan filem seperti Mumbai

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ipoh berpotensi menjadi sebuah bandar raya industri seni dan kreatif terutama sebagai pusat perusahaan filem seperti Mumbai di India.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata bagi mencapai tujuan itu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengatur pelbagai strategi termasuk menyediakan infrastruktur studio dan kemudahan seperti pelaksanaan rangkaian 5G.

"Bandar raya ini mampu menjadi lokasi tumpuan dalam aspek seni kreatif sebagaimana Bollywood.

"Kita telah memberi fokus kepada bandar pelancongan, kreatif dan seni yang baru dilaksanakan pada Januari lalu.

“Adalah tidak mustahil sekiranya kita benar-benar berusaha kita boleh pergi jauh (dalam industri seni dan kreatif) sehingga ke Asia Tenggara," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas mengenai Majlis Menghargai Jasa Hero-Hero Malaysia dan Tayangan Perdana Filem Juang di Ipoh hari ini.

Menurut Rumaizi majlis itu akan diadakan di Golden Screen Cinema, Ipoh Parade Isnin ini, bagi menghargai jasa pengorbanan petugas barisan hadapan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak dua tahun lepas.

- Bernama