Skip to main
Logo Malaysiakini

Shahir sedia bersemuka selesaikan isu hutang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sekalipun dituduh berhutang sebanyak RM4,000, Shahir Zawawi mengakui dia tidak akan sesekali melarikan diri daripada menyelesaikan isu tersebut.

Sebaliknya, penyanyi itu berkata dia terbuka untuk bersemuka dan berbincang berhubung isu itu yang dibangkitkan oleh seorang individu di media sosial baru-baru ini.

“Saya tak akan lari. Andai kata dia nak berbincang, saya memang tak ada masalah,” tegasnya.

Namun, Juara Akademi Fantasia kelapan itu tertanya-tanya mengapa isu berkenaan tiba-tiba dibangkitkan secara terbuka oleh individu terbabit di media sosial terutama selepas dia menguar-uarkan berita perkahwinannya.

Shahir berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Nasyid Legenda 2022 yang berlangsung di pejabat Majlis Perbandaran Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu, seorang individu mencetuskan kontroversi di media sosial selepas membuat tuduhan secara terbuka mengaitkan nama Shahir dengan bayaran hutang RM4,000 yang belum dilangsaikan.

Seorang lagi individu kemudian membalas komen tersebut dengan tuduhan lain iaitu Shahir seorang artis yang sering mempunyai masalah dengan syarikat rakaman.

Bagaimanapun, Shahir, 33, menafikan kedua-dua tuduhan terbabit.

Dia mendakwa tuntutan hutang yang dibangkitkan individu itu tidak pernah dibincangkan atau dimeterai dalam mana-mana kontrak sebelum ini manakala isu yang timbul dengan syarikat rakaman adalah suatu fitnah semata-mata.

Kata Shahir, dia tidak pernah bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman selain Astro setakat ini.

Meskipun terpalit tuduhan sedemikian, penyanyi itu berkata, setakat ini dia belum terlintas untuk mengambil tindakan undang-undang memandangkan dirinya bakal bergelar ‘raja sehari.’

Katanya, ketika ini dia hanya sibuk memikirkan segala persiapan pernikahannya dengan usahawan, Jaskin Jaludin yang bakal berlangsung di Bizmilla Wedding Centre, Subang Jaya, esok.

“Saya enggan memeningkan kepala memikirkan perkara ni.

“Buat masa ini saya perlu berikan tumpuan kepada persiapan menjelang majlis pernikahan pada esok dan persandingan saya yang berlangsung lusa,” jelasnya.