Skip to main
Logo Malaysiakini

Shahir: Ada manisnya bercinta lepas kahwin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir Zawawi, berkata dia yakin akan menikmati nikmat tersendiri selepas berkahwin ekoran hanya mengenali bakal isterinya, Jaskin Jaludin, dalam tempoh singkat saja.

Kata Shahir, perkenalan untuk tempoh yang lama tidak menjamin sesebuah pasangan akan melalui kehidupan yang sentiasa bahagia.

“Memang pelan asal kami adalah untuk mendirikan rumah tangga pada tahun depan. Kami nak mengenali diri masing-masing lebih lama. Tapi tak sangka, aturan Allah lebih cepat.

“Ramai suami isteri yang menjalin cinta untuk tempoh lama tapi hanya betul-betul kenal pasangan mereka lepas berkahwin. Mungkin ada manisnya bercinta lepas berkahwin.

“Bagi saya, tempoh perkenalan lama tak menjamin kebahagiaan berkekalan,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas keyakinannya untuk memperisterikan Jaskin, Shahir berkata, dia ada menunaikan solat istikharah sebelum membuat keputusan muktamad bagi memilih jodohnya.

Jelas Shahir, 33, hatinya semakin yakin apabila segala urusan ke arah perkahwinan dengan Jaskin dipermudahkan.

“Sewaktu kami berkenalan, panggilan telefon pertama saja dia minta saya mendaftar kursus kahwin. Jujur, sebagai lelaki saya langsung tak terkejut dengan permintaan dia.

“Sebabnya, kami berdua dalam fasa mencari jodoh dan memang sudah bersedia ke alam rumah tangga, memang tak ada masa nak main-main.

“Saya juga ada lakukan solat istikharah, siapa pun jodoh, saya minta Tuhan permudahkan urusan dan nampaknya, perkenalan saya dengan bakal isteri serta urusan perkahwinan kami juga dipermudahkan,” ujarnya.

Shahir bakal melangsungkan pernikahan dengan Jaskin di Bismilla City Hall, Subang Jaya malam ini manakala acara persandingan diadakan malam esok juga di lokasi sama.

Pasangan itu baru mengikat tali pertunangan pada 16 Julai lalu.

Nama Shahir sebelum ini pernah dikaitkan menjalin cinta selama beberapa tahun dengan pelakon ternama, Erra Fazira, 48.

Pelakon Sembilu itu dilaporkan pernah berkongsi kegembiraan apabila mengetahui bekas kekasihnya sudah bertemu jodoh dan bakal menamatkan zaman bujang.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shahir berkata, dia bakal menjayakan Konsert Nasyid Legenda di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 29 Okt ini.

Menurutnya, dia bersetuju menyertai konsert itu kerana pernah menyertai kumpulan nasyid serta meminati lagu-lagu nostalgia genre itu sejak sekian lama.

“Sekarang ni aliran saya berbeza, tapi mesej disampaikan dalam lagu-lagu saya tetap sama.

“Mungkin dengan kehadiran saya, tidaklah hanya peminat nasyid semata-mata yang datang ke konsert berkenaan.

“Mungkin juga ada peminat genre baru yang akan hadir dan menyokong industri nasyid tanah air,” katanya.