Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Nasib malang Dasar Sastera Kebangsaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mungkin semakin terlupa untuk bercakap tentang Dasar Sastera Kebangsaan (DSK) kerana tugas birokrat seni itu kelihatan kian kabur.

Sasterawan dan sarjana yang sekian lama bercakap tentang DSK kini terkedu kerana tiada apa-apa yang muncul.

DSK dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 16 hingga 20 Ogos 1971. Sesudah itu pejuang dan sasterawan bertubi-tubi bercakap tentang DSK namun selepas 51 tahun tiada sebarang pelaksanaan.

Mereka meyakini sastera adalah penting dalam kehidupan manusia untuk membentuk minda dan sahsiah bangsa. Bagi sasterawan, sastera adalah jiwa raga kebangsaan yang perlu disuburkan bagi membentuk Malaysia sebagai negara berdaulat dan berhemah.

Dalam masyarakat Malaysia yang sudah 65 tahun menikmati merdeka, kehidupan dikaitkan dengan graf ekonomi, taraf hidup, jumlah pendapatan dan keselesaan. Isu hak asasi, kelestarian alam dan mempelbagai sumber pendapatan menjadi keperluan utama.

Dalam kalangan politik pula, isu kuasa, kestabilan dan peti undi menjadi keutamaan. Sejak insiden 13 Mei 1969, kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru  (DEB) untuk menstruktur semula ekonomi dan pendapatan per kapita.

Justeru bagi mereka, DEB jauh lebih penting untuk dibincangkan di parlimen.

Dalam kalangan kapitalis pula, keuntungan maksimum adalah rukun pertama dalam hidup mereka. Keuntungan adalah kuasa yang boleh menentukan hala tuju sesebuah negara.

Tuntutan ekonomi, politik

Justeru, tidak memaranjatkan apabila orang politik dan korporat lazimnya bergabung - termasuk secara terang-terangan - untuk mencapai kuasa. Kemudian mereka bersekutu untuk mengekalkan kuasa itu.

Dalam konteks ini, isu sastera, budaya dan agama mungkin tidak dianggap penting dalam sistem ekonomi kapitalis dan sekular. Justeru DSK hanyalah gerimis senja yang sudah lenyap dalam tong najis sejarah.

DBP yang matlamat penubuhan untuk memperkembang bahasa, sastera dan penerbitan kini dilihat sesetengah orang lebih ghairah untuk menjadi polis bahasa apabila kononnya berusaha mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai sektor.

Ia khabarnya akan dilaksanakan "tidak lama lagi".

Sasterawan dan sarjana sastera pula terus berkhayal dan mungkin berhalusinasi tentang DSK yang kewujudannya belum pasti bila. Realiti semasa ialah isu ekonomi selepas Covid-19.

Kerajaan bertarung untuk memastikan rakyat hidup selesa dan memperoleh pendapatan setimpal. Kerajaan tidak ada masa untuk melayan DSK kerana keperluan semasa lebih kepada ekonomi dan politik. Ekonomi dan politik pula sangat penting kerana ada kaitan dengan sokongan di peti undi.

Kerajaan yang tidak mahu dikatakan gagal sentiasa berusaha untuk mencapai dan mengekalkan kuasa. Kuasa adalah syarat wajib dalam sistem politik berparlimen. Bukan sastera.

Realiti kini adalah ekonomi dan kuasa. Sasterawan dan sarjana kena faham isu ini. Ekonomi ada kaitan dengan kapitalis. Di tengah mereka adalah korporat. Apabila kuasa dan ekonomi bergabung, DSK tidak lagi menjadi keutamaan kerana sastera dianggap tidak membantu menambahkan nilai ekonomi negara atau membantu orang politik ke puncak kuasa.

Pada  23 April 2019, berlangsung mesyuarat anjuran DBP untuk membincangkan semakan semula DSK. Selepas tiga tahun hasil mesyuarat itu tersadai begitu sahaja kerana sastera tetap bukan keperluan di mata penguasa dan kapitalis.

Sastera masih terpinggir

Yang bercakap tentang sastera adalah orang sastera dan sarjana yang cuba menjadi juara di kandang kecil. Masalahnya, ketika ini mereka adalah spesies terancam dan terpinggir.

Malang bagi Malaysia kerana tidak ada seorang pun perdana menteri yang benar-benar berjiwa sastera. Sekadar hadir majlis baca puisi dan baca sajak - tentang keluarga Malaysia misalnya - tidak menjadikan seseorang itu berjiwa sastera, apa lagi beriltizam melaksanakan kehidupan bersastera.

DSK perlu dimartabatkan secara perundangan, bukan lagi kekal sebagai konsep longgar yang sentiasa terdedah kepada cabaran politik.

Memang diakui sastera masih terpinggir dalam agenda pembangunan nasional. Sasterawan Negara tidak diiktiraf sewajarnya dalam rangka pembangunan ekonomi negara.

Malahan, syarikat berkaitan kerajaan yang ditubuhkan untuk menerbit dan menterjemah buku ke pelbagai bahasa dunia pun tidak mendapat peruntukan yang sewajarnya untuk beroperasi.

Lebih malang suara sasterawan semakin hilang apabila kalendar seni dikaitkan dengan sektor lain dalam program pelancongan nasional ketika program Tahun Melawat Malaysia.  Masyarakat mengenal seni kerana pelakon, pelawak, pemuzik, penyanyi dan pengarah filem.

Usman Awang

Jarang yang kenal penulis Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Daerah Zeni dan Pulang Si Tanggang.

Lebih malang apabila sastera dikaitkan sebagai subjek untuk pelajar yang lemah dalam akademik. Banyak sekolah yang berkira untuk mengadakan kelas Kesusasteraan Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana bimbang peratusan pencapaian peperiksaan merosot kerana subjek Sastera kononnya tidak menyumbang kelulusan yang cemerlang pada setiap tahun.

Stigma ini berlaku sejak lima dekad lalu apabila aliran Sains diperkenal di sekolah - kononnya - untuk pelajar yang cemerlang. Aliran Sastera pula dikhususkan untuk mereka yang 'lemah, kaki ponteng dan kerap cuti sakit'.

Pada masa sama sehingga kini banyak persatuan penulis peringkat negeri dan daerah dipimpin golongan berusia. Dengan dana terhad, mereka menjalankan aktiviti dengan pelbagai kekangan.

Hasilkan karya lebih baik

Banyak juga persatuan penulis menjadi sekadar cawangan parti politik tidak rasmi yang menjadi asas untuk menggerakkan agenda kepartian. Hal ini berlaku apabila program mereka dirasmikan - atau dimeriahkan - oleh wakil rakyat dan orang politik jemputan.

Keadaan ini berlaku sejak 1957 apabila sastera diperalatkan untuk kepentingan politik tertentu. Pada dekad 1960-an ada unsur sosialis dalam kebanyakan karya tempatan kerana isu semasa ketika itu yang mempertemukan konsep Seni Untuk Masyarakat dan Seni Untuk Seni.

Suara Usman Awang, Keris Mas, A Samad Said, Arenawati dan Shahnon Ahmad amat jelas berdasarkan isu marhaen, selain manusia bawahan yang terhimpit dalam krisis ekonomi kapitalis.

Penentangan kelas dan peristiwa 13 Mei, kelaparan di Baling dan kemiskinan Lahuma dalam Ranjau Sepanjang Jalan menjadi model kesusasteraan kebangsaan pada awal kemerdekaan.

Dekad 1980-an dan mutakhir adalah pengisian kemerdekaan dengan pelbagai halangan dan dugaan bentuk baru. Perang Dingin di antara blok komunis dan kapitalis sudah berlalu.

Shahnon Ahmad

Karya sastera Malaysia berpaksikan realiti baru mengenai kemerdekaan dan pengisian makna kebebasan.

Sasterawan mutakhir, terutama karya Zaen Kasturi, SM Zakir dan Faisal Tehrani adalah suara Malaysia pascamoden yang wajar diperhatikan. Antara mereka ramai lagi karyawan baru yang masih aktif dan menemui identiti tersendiri.

Karya mereka jauh lebih baik daripada apa yang dihasilkan oleh beberapa orang yang bernasib baik terpilih sebagai Sasterawan Negara.

Kita tidak pasti adakah DBP sedar beberapa orang Sasterawan Negara dianggap tidak pernah melahirkan karya yang baik namun terpilih untuk menerima pencen RM5,000 setiap bulan.

Malaysia mungkin mempunyai ratusan penulis muda yang berminda Sasterawan Negara masa depan. Malangnya mereka tidak akan ke mana-mana kerana tidak ada  dasar yang jelas.

DSK sepatutnya membentuk sastera Malaysia alaf baru. Malangnya dasar ini berada dalam tong najis sejarah!


IMLAN ADABI ialah mantan wartawan dan penulis yang tidak bernaung dengan mana-mana kluster dan kasta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.