Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelatih Akademi Mokhtar Dahari dapat pujian Beto Kusyairy

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tahap disiplin dipamerkan pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) sewaktu bekerjasama di set penggambaran Anak Rimau The Movie mendapat pujian Beto Kusyairy.

Kata pelakon berkaliber itu, walaupun tidak mempunyai pengalaman berlakon, kesungguhan dipamerkan pelatih berusia bawah 14 tahun terbabit berjaya mengetengahkan jalan cerita menyentuh hati dalam naskhah garapan Areel Abu Bakar sememangnya layak dipuji.

“Sebelum memulakan penggambaran, timbul tanda tanya bagaimana saya mahu bekerjasama dengan remaja yang bukannya pelakon, sebaliknya atlet.

“Tapi, saya dapati mereka bekerja dengan penuh disiplin. Apabila mereka mendengar arahan dan mengikut kehendak pengarah, semua perkara jadi mudah,” jelasnya.

Menurut pemilik nama asal Nurkusyairy Zakuan Osman itu, tugasnya untuk menghidupkan watak Coach Zainal Abidin menjadi lebih mudah apabila syarikat produksi, Keeklr Films Sdn Bhd, menyediakan bengkel lakonan dikendalikan Fatimah Abu Bakar.

Ujar pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Pesta Perdana 2017 di Singapura itu, sebelum memasuki set, pelatih berkenaan terlebih dulu mendalami ilmu bagaimana mahu menghidupkan watak masing-masing.

“Ia menambah keyakinan saya untuk menjayakan Anak Rimau The Movie sebab biasanya penggiat filem tahu kredibiliti Fatimah.

“Bagi saya, untuk orang (atlet AMD) yang pertama kali berlakon dengan apa yang boleh dilihat hari ini (hasil lakonan dalam filem) amat jauh,” katanya.

Beto, 42, berkata demikian seusai majlis tayangan pratonton filem terbaru lakonannya itu di Dadi Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anak Rimau The Movie yang sedang ditayangkan di panggung tanah air, berkisahkan sekumpulan anak muda pelbagai kaum berbakat tinggi dalam sukan bola sepak menyertai Akademi Bola Sepak Malaysia (Anak Rimau Academy).

Mereka mengharungi pelbagai cabaran sebagai individu dan berpasukan ketika menghadapi fasa baru dalam dunia berkenaan. Pemain perlu menentang cabaran peribadi dan halangan pasukan, sebelum berfikir untuk memenangi Piala Jemputan Bola Sepak Belia Asean.

Turut menjayakan Anak Rimau The Movie itu ialah Idan Aedan, Ahmad Daniel Hakimi, Hanz Daniel Skelchy, Adam Corrie, Taiyuddin Bakar, Megat Sharizal, Azhan Rani dan Mustaqim Bahadon.

Beto yang terkenal kerana sikap selektifnya dalam memilih karya untuk dibintangi menyatakan dia juga membulatkan hati untuk membawa watak jurulatih yang tegas dan komited dalam Anak Rimau The Movie.

Katanya, dia sanggup turun padang ‘membimbing’ pasukan pemain bola sepak muda itu demi kecintaan pada sukan kegemarannya.

“Saya anggap pembabitan saya dalam filem ini sebagai satu sumbangan pada sukan yang saya cukup minat dari kecil iaitu bola sepak,” tuturnya yang juga peminat Liverpool.