Skip to main
Logo Malaysiakini

Afldin: Saya pun tak akan biar diri diperbodohkan...

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perbezaan usia dan pengalaman tidak menghalang Afldin Shauki membuka ruang kepada Liyana Jasmay menzahirkan kreativiti sendiri apabila berlakon di bawah arahannya.

Walaupun kadangkala timbul persoalan mengenai arahan mahupun skrip penceritaan yang diberi, pengarah, penerbit dan pelawak itu berkata, dia selesa untuk bertanya bagi mendapatkan kepastian.

“Saya dah biasa bekerja di bawah pengarah lain. Biasanya, apabila berdepan situasi berlakon dengan pengarah lain, saya akan switch off (menutup) mod pengarah.

“Apabila disuruh buat, kami akan ikut saja. Kena bagi dia ruang ekspresi kreativiti. Tapi jika ada perkara yang menimbulkan keraguan dan pelik pada mata saya sebagai pengarah, sudah pasti saya akan tanya.

“Saya pun tak akan biarkan diri saya diperbodohkan,” ujarnya berseloroh.

Liayana Jasmay

Bagi Afdlin, 51, proses berdiskusi dan berbincang itu adalah amalan sihat dalam kalangan rakan industri yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Kami duduk dan bincangkan apa yang menjadi tanda tanya. Itu cara kami sebagai kawan dan keluarga dalam industri ni untuk membantu sesama sendiri. Bukan nak tunjuk pandai.

“Selalu juga timbul persoalan apabila pengarah filem mengarahkan pengarah lain, dan situasi tu pernah terjadi pada saya sewaktu mengarah Aziz M Osman.

"Ketika itu saya selalu terfikir: betul ke tidak apa yang aku buat ni?” kongsinya.

Afdlin berkata demikian ketika ditemui selepas berakhir majlis pratonton filem pertama arahan Liyana, Cikgu VS Hantu di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Filem genre komedi seram itu berkisahkan permusuhan di antara Cikgu Daud dan Cikgu Samad untuk mendapat gelaran guru terbaik dan seterusnya menjadi pengetua sekolah.

Persaingan tersebut secara tidak langsung merapatkan hubungan mereka apabila kedua-duanya bertemu hantu Cikgu Syima dan Ismail.

Cikgu VS Hantu akan menjengah penonton melalui Astro First bermula 8 Sept ini melalui saluran 480 atau menerusi penstriman Astro Go dan On Demand.

Selain Afdlin, turut menjayakan Cikgu VS Hantu ialah Khir Rahman, Juliana Evans, Shuk Sahar, Zahiril Adzim, dan Syafiq Kyle.

Sementara itu, Liyana, 34, berkata bagi dirinya tiada istilah mengawal pelakon secara keterlaluan kerana semua yang bekerja dengannya sudah mempunyai bakat dan kualiti yang bagus.

Mengulas komen Afdlin mengenai karya sulungnya itu, Liyana menjawab memang pada awal Afdlin banyak mengajukan pelbagai soalan apabila tidak memahami sesuatu.

Namun dia tidak mengangap ia kekangan mahupun bebanan.

“Saya jawablah: Saya belajar daripada yang terbaik.

“Bagi saya, teguran, perbincangan dan menerima idea orang lain adalah satu progres untuk menjadi yang terbaik.

“Saya banyak belajar daripada orang hebat di set penggambaran sejak berusia sembilan tahun. Saya suka memerhati dan cari pengalaman kerana perkara tu sangat penting untuk saya bekerja,” katanya.